X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster Sivagangga catat 12 kes baharu

Penduduk sekitar kawasan Napoh menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh berikutan terdapat kluster baharu yang dikenal pasti iaitu Kluster Sivagangga. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kluster PUI Sivagangga di Kedah hari ini mencatatkan 12 kes baharu termasuk 10 kes di Perlis dan satu kes di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu lagi kes dilaporkan di Kedah.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada kluster itu sebanyak 43 kes setakat ini, iaitu 31 di Kedah, 11 di Perlis dan satu kes di Pulau Pinang.

"Sebanyak 10 kes baharu dilaporkan di Perlis hari ini berkait dengan kes ke-9002 yang dilaporkan di Perlis pada 4 Ogos terdiri daripada satu keluarga, manakala satu kes baharu dari Kedah adalah kontak rapat (iaitu isteri) kepada kes ke-9035 yang dilaporkan pada 6 Ogos.

“Satu kes baharu di Pulau Pinang pula disaring kerana pada 30 Julai beliau pulang ke kampung yang merupakan satu daripada kawasan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhannya sebanyak 25 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia sebanyak 9,063 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 210 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, sembilan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan lapan rakyat dan satu bukan warganegara.

Beliau juga berkata, terdapat 15 kes yang pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu sebanyak 8,728 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan.

Sehingga kini, beliau berkata, terdapat dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan satu pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, seramai 1,884 kontak rapat telah dikenal pasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang.

"Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan. Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan yang telah dikenal pasti berkait rapat dengan kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, seramai 3,246 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 43 dikesan positif, 2,320 negatif sementara 883 orang masih menunggu keputusan.

Kes Kluster Sivagangga melibatkan seorang pemilik kedai makan yang pulang ke Malaysia dari India dan diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), namun dia gagal mematuhi syarat perintah berkenaan.

Pemilik kedai makan di Napoh, Jitra, Kedah itu juga dilaporkan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera di premisnya dan tidak merekodkan kehadiran serta suhu badan pelanggan yang berkunjung ke premisnya.

Susulan itu, kerajaan melaksanakan PKPD secara pentadbiran di empat mukim di negeri itu dari 3 hingga 30 Ogos ini bagi mengekang penularan kluster tersebut.

Berdasarkan kenyataan terbaharu perkembangan Covid-19 hari ini, kluster itu dikesan telah merebak ke Perlis dan Pulau Pinang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!