SSU Kelab Aman, PHKL barakan kejohanan dalam dewan

Megat D Shahriman (dua dari kiri) dan Dr Balbir (tengah) bersama barisan kepimpinan PHKL dan SSU Kelab Aman.
Megat D Shahriman (dua dari kiri) dan Dr Balbir (tengah) bersama barisan kepimpinan PHKL dan SSU Kelab Aman.
A
A
A

ARENA hoki dalam dewan tempatan kembali menyingkap tirai baharu dengan penganjuran Kejohanan Hoki Dalam Dewan Kuala Lumpur 2020 yang dijadualkan berlangsung di Padang Hoki Tuanku Abdullah pada September depan.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Aman, Dr Balbir Singh Gill, kejohanan anjuran Selangor Sikh Union (SSU) Kelab Aman itu mendapat kerjasama dan sokongan padu Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL).

"Ia tidak hanya kejohanan hoki dalam dewan tempatan pertama di ibu kota Kuala Lumpur tetapi juga kolaboratif pertama bersama SSU Kelab Aman selepas sukan itu menjadi penyumbang emas negara pada dua temasya terakhir Sukan SEA.

"Jadi Kelab Aman mengharapkan semua kelab dan persatuan hoki dapat mengambil bahagian dalam kejohanan yang menyasarkan penyertaan 30 pasukan. Kejohanan edisi ini akan terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori terbuka dan veteran.

“Kami menyasarkan 20 pasukan bagi kategori terbuka dan 10 pasukan untuk kategori veteran. Kami kini dalam proses mendapatkan kebenaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada majlis pelancaran kejohanan itu di Kelab Aman di Kuala Lumpur.

Tambah Dr Balbir, pihaknya juga menjangkakan sambutan hangat dalam kalangan pasukan atau kelab tempatan kerana ini penganjuran kali pertama.

"Majoriti komuniti hoki di luar sana rindu untuk kembali beraksi dalam kejohanan selepas hampir lima bulan tanpa aktiviti hoki berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kerajaan akibat pandemik Covid-19.

"Kami turut berterima kasih kepada PHKL kerana sudi bekerjasama dengan SSU Kelab Aman dari aspek penyediaan pengadil, pegawai teknikal dan peraturan pertandingan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memuji langkah awal diambil SSU Kelab Aman untuk bekerjasama dalam menganjurkan kejohanan berkenaan.

"Saya amat bangga dan berterima kasih kepada SSU Kelab Aman yang menjadi antara ahli gabungan terawal menjalinkan kerjasama dengan PHKL untuk menganjurkan kejohanan sebegini ini.

“Kami di PHKL sentiasa akan menyokong penuh usaha ahli gabungan dan komuniti hoki Kuala Lumpur untuk melaksanakan apa jua aktiviti berkaitan sukan hoki.

"Saya mahu mengingatkan kepada semua bahawa kerjasama erat antara kita semua amatlah penting dalam usaha berterusan membangunkan sukan hoki,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai liga ini boleh diajukan kepada Timbalan Setiausaha Kelab Aman, Sukhjit Singh di talian 017-213 39373 atau Gurdev Singh di talian 03-2148 6710.