Jawatankuasa Bencana pantau rapat kes Covid-19 di Jempol

Koronavirus - Foto 123RF
Koronavirus - Foto 123RF
A
A
A

JEMPOL - Orang ramai tidak perlu panik berhubung penularan maklumat mengenai kes positif koronavirus (Covid-19) yang dicatatkan di daerah Jempol semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, kes melibatkan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sedang dipantau pihaknya.

Menurutnya, kontak rapat kepada pesakit tersebut juga sudah dikuarantin.

"Pejabat Kesihatan Daerah juga memantau rapat kes ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai kes baharu positif Covid-19 di daerah ini semalam berikutan orang ramai didakwa mulai panik selain terdapat pelbagai mesej tular berhubung kes tersebut.

Sementara itu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Negeri Sembilan, Teo Kok Seong melahirkan rasa kesal dengan penyebaran berita palsu tersebut dan meminta orang ramai tidak mudah percaya.

"Ada dakwaan mengatakan murid-murid tidak perlu hadir ke sekolah susulan kes itu selain kononnya terdapat dua orang murid positif Covid-19.

"Murid-murid dan penduduk terlibat boleh meneruskan aktiviti masing-masing seperti biasa namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya ketika ditemui semasa meninjau kawasan terlibat di sini hari ini.

Artikel Berkaitan: