Penyokong Guan Eng berdepan kompaun jika ingkar SOP

Lim Guan Eng ketika tiba di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. - FOTO ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
Lim Guan Eng ketika tiba di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. - FOTO ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis menasihati penyokong bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar tidak berhimpun ketika proses pendakwaan Ahli Parlimen Bagan itu di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini minggu depan bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Guan Eng, 59, dijangka didakwa di mahkamah itu pada Isnin dan Selasa depan.

"Hanya pihak yang berkenaan (mempunyai urusan) dengan mahkamah dibenarkan masuk ke dalam manakala yang lain tidak dibenarkan masuk ke kawasan pekarangan mahkamah. Orang ramai juga tidak dibenarkan berkumpul dalam keadaan bersesak di luar pekarangan mahkamah.

"Polis akan mengambil tindakan termasuk kompaun jika terdapat pihak yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan menutup mana-mana jalan di kawasan mahkamah itu, namun pihaknya dijangka menempatkan 150 pegawai dan anggota polis untuk mengawal keadaan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Noorzainy turut berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang kekecohan termasuk mengadakan perhimpunan sepanjang prosiding berlangsung.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng juga dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin ini bagi kes lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: