Kopi hitam Malaysia ditelan zaman

A
A

BERITA tentang syarikat China, Luckin mahu membuka 2,500 rantaian kafe baharu tahun ini untuk mengatasi gergasi Amerika Syarikat, Starbucks yang ditulis empat hari lalu, membuka mata penulis. Rancangan terbaharu dicetuskan sekalipun tahun lalu ia kerugian besar US$116.34 juta (RM479.70 juta).

Berita tersebut menyebabkan penulis terpempan seketika. Penulis segera mengkaji perihal kopi dan mendapati ia komoditi kedua terbesar diperdagangkan di dunia selepas petroleum. Negara pengeluar dan pengeksport kopi utama dunia ialah Brazil, Vietnam, Indonesia, Colombia dan India sebagaimana yang dilaporkan Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2018.

Malaysia menduduki tempat ke-60 hanya menyumbang sekitar 0.16 peratus pengeluaran kopi dunia. Nilai kopi berbeza telah mendorong Malaysia mengimport kopi, terutamanya dari Indonesia. Nilai import kopi meningkat daripada RM52 juta pada tahun 1988 kepada lebih daripada RM972 juta pada tahun 2013, dengan pertumbuhan purata tahunan naik mendadak iaitu sebanyak 18 peratus.

Apa sudah jadi kepada industri kopi Malaysia? Penulis membesar dengan kopi buatan ibu yang ditanam secara kecil-kecilan di ladang sendiri. Kami sekeluarga tidak pernah minum kopi dijual di kedai runcit. Tetapi sekarang, kopi negara luar dengan pelbagai jenama seperti Starbucks dan lain-lain telah menjadi kesukaan masyarakat negara ini. Malah, mereka berbangga jika dilihat minum kopi di restoran kopi berjenama Barat.

Kopi ialah tumbuhan keluarga jenis Rubiaceae dan Genus. Ia sejenis bijiran yang pokoknya boleh hidup sehingga lebih daripada 25 tahun dan membesar hingga ketinggian 5 hingga 15 meter. Benih kopi dipercayai berasal dari Ethiopia dan kemudian tersebar ke Mesir, Yaman, Eropah dan akhirnya sampai ke Amerika Syarikat.

Ketika ini, kopi telah mendapat tempat di seluruh dunia termasuk Malaysia yang pada suatu ketika dahulu menanam kopi sebagai tanaman yang mampu memberi pendapatan lumayan. Daripada 66 spesies Genus ini, tiga spesies ditanam secara komersil dan diperdagangkan secara meluas di pasaran global. Spesies ini ialah kopi Arabica (70%) Canephora atau dikenali sebagai Robusta (28%) dan Liberica (2%).

Terdapat dua jenis kopi yang ditanam secara komersil di Malaysia iaitu Liberica (90%) dan Robusta (10%). Arabica dianggap kopi paling tradisional dan bernilai tinggi. Berbanding Robusta yang mempunyai rasa pahit dan lebih berasid. Kopi jenis Robusta ini sering digunakan sebagai bahan dalam beberapa campuran espresso untuk menambah lebih banyak perasa dengan kos yang lebih rendah. Kopi Robusta ialah yang termurah dengan harga RM6 hingga RM10 per kilogram (kg), diikuti Liberica RM10 hingga RM16 per kg dan Arabica ialah RM20 hingga RM25 per kg.

Sekali lagi penulis tertanya-tanya apa sudah jadi dengan industri kopi Malaysia? Sedangkan ALLAH SWT menjadikan bumi Malaysia subur dan menghijau sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Thaahaa [20: 53] “Kami yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan Yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-jalan, dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis dari tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam.”

Kajian Persatuan Kopi Kebangsaan (NCA) dengan kerjasama Persatuan Khusus Kopi Amerika (SCAA) mendapati industri kopi memberi kesan signifikan kepada ekonomi Amerika. Tahun lalu, industri kopi bernilai USD$225.2 bilion (RM900 bilion). Laporan itu menyatakan kopi ialah minuman paling terkenal di kalangan masyarakat Amerika, bahkan lebih daripada air paip.

Di China, kadarnya peminum kopi masih rendah iaitu anggaran tiga cawan setahun berbanding 250 cawan di England dan 363 cawan di Amerika. Namun, kebelakangan ini jumlah penggunaan meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 16 peratus dalam tempoh beberapa tahun lalu, melebihi purata dunia sebanyak 2 peratus sebagaimana yang dilaporkan oleh SCCA.

Rantaian kopi antarabangsa seperti Starbucks sedang berkembang pesat. Jenama itu menambah bilangan kilangnya di China kepada 3,300 pada 2018 daripada 1,017 pada 2013. Data dalam talian menunjukkan corak pertumbuhan yang sama terhadap platform e-dagang Alibaba, termasuk Taobao dan Tmall.

Laporan tersebut menyatakan lebih daripada 18 juta pengguna China membeli produk kopi bernilai RMB2.5 bilion (RM1.52 bilion) dalam tempoh 12 bulan yang lalu, dan dijangka naik 18 peratus pada tahun-tahun mendatang.

Mengikut Dasar Pertanian Kebangsaan ketiga (NAP3, 1998-2010), kopi telah dikenal pasti sebagai salah satu komoditi yang diberi perhatian oleh kerajaan. Ia mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan kerana berperanan penting kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Namun faktor seperti harga tidak stabil, pulangan kurang menggalakkan, kerumitan penuaian dan pemprosesan serta persaingan dengan loji-loji perindustrian yang lain, membuatkan perusahaan kopi hanya mampu dilaksanakan secara kecil-kecilan, kebanyakannya ditanam peladang-peladang kecil dan sederhana.

ALLAH telah memberi panduan kawasan banyak hujan sesuai untuk penanaman buah-buahan seperti dinyatakan dalam Surah Al-A'raaf [7:57] bermaksud:

“Dan Dia-lah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”

Justeru, penulis ingin bertanya, kenapa mengapa pengeluaran kopi di Malaysia sangat kecil dan menunjukkan tanda-tanda akan terus merudum. Kawasan ladang kopi menurun daripada kira-kira 18,500 ekar pada 2007 kepada hanya 9,290 ekar pada 2013 terutama di Sabah, Johor dan Selangor, dan ia dijangka terus mengurang pada 2020.

Bolehkah Kerajaan Baharu ini melakukan sesuatu bagi meningkatkan pengeluaran kopi di Malaysia yang mana pada hakikatnya kita tahu bahawa permintaan semakin meningkat?

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.