Ibu bapa model terbaik didik anak pakai pelitup muka

Dr Nurul Nadia (tengah) dan Pakar Perundingan Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi, KPJ Rawang, Dr Rushdan Abdul Aziz serta moderator, Azlan Nabees Khan semasa Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian malam tadi.
Dr Nurul Nadia (tengah) dan Pakar Perundingan Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi, KPJ Rawang, Dr Rushdan Abdul Aziz serta moderator, Azlan Nabees Khan semasa Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa adalah model terbaik dalam mendidik kanak- kanak supaya memakai pelitup muka bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pakar Psikiatri, Dr Nurul Nadia Ismail berkata, kanak-kanak mudah dididik dengan menggunakan kaedah teori pembelajaran sosial melalui teladan yang ditunjukkan ibu bapa sendiri.

Menurutnya, jika ibu bapa mengeluh dan bersikap sambil lewa dalam pemakaian pelitup muka di depan anak mereka, ia akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak.

"Kanak-kanak iaitu berusia dua hingga sembilan tahun ini boleh diajar kalau bermain dengan mereka. Contohnya guna anak patung sebagai model pakai pelitup muka supaya kanak-kanak rasa pakai pelitup muka itu seronok dan selamat, bukan sengsara.

"Produksi filem kartun seperti Ejen Ali, Boboboy, Upin Ipin dan Geng Bas Sekolah boleh jadi ikon untuk mendidik," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian malam tadi.

Turut sama, panelis, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dan Pakar Perundingan Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi, KPJ Rawang, Dr Rushdan Abdul Aziz serta moderator, Azlan Nabees Khan.

Nurul Nadia berkata, selebriti dan 'instafamous' pula boleh menjadi ikon untuk menggalakkan golongan remaja memakai pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

"Golongan remaja pula pendekatannya berlainan melalui psikologi pendidikan dengan fakta keperluan memakai pelitup muka.

"Selebriti dan 'instafamous' boleh menjadi teladan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, persatuan ibu dan guru (PIBG) disaran mewujudkan 'mask bank' di sekolah masing-masing bagi membantu murid golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, sudah tiba masa semua pihak menghayati tanda pagar #KitaJagaKita supaya semua murid memiliki dan memakai pelitup muka.

"Kita tahu pemakaian pelitup muka penting maka langkah kecil ini dapat mengurangkan kerungsingan golongan tidak berkemampuan membeli pelitup muka," ujarnya.