McPhee tekad tawan Litar Brno

McPhee (depan) dan Khairul Idham memburu kemenangan pada GP Republik Czech di Litar Brno hujung minggu ini.
McPhee (depan) dan Khairul Idham memburu kemenangan pada GP Republik Czech di Litar Brno hujung minggu ini.
A
A
A

SEMANGAT pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing, John McPhee kini semakin berkobar-kobar menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno hujung minggu ini.

McPhee berkata, kejayaannya muncul naib juara pada GP Andalusia di Litar Jerez, Sepanyol 26 Julai lalu menambahkan lagi keyakinannya untuk meneruskan tunggangan terbaik Ahad nanti.

Menurut McPhee, dia mahu menambah kutipan mata bagi menjarakkan kedudukan dengan pelumba lain selepas gagal menamatkan perlumbaan pada GP Sepanyol yang turut dilangsungkan di Litar Jerez 19 Julai lalu.

“Kami konsisten selama dua minggu di Jerez dan kami saling bersaing untuk menang dan ia sesuatu yang sangat hebat. Apatah lagi ia berlaku di litar yang tidak pernah memberikan kejayaan kepada saya sebelum ini.

“Tetapi kini saya boleh meninggalkan litar berkenaan dengan rasa bangga. Sejak itu, saya telah berlatih dengan rakan-rakan sepasukan Xavi (Vierge) dan KIP (Khairul Idham Pawi) dengan menunggang motosikal mini, berbasikal dan sebagainya ketika berada di Andorra.

“Ia sesuatu yang hebat untuk melakukan sesuatu sebelum memulakan perlumbaan di Brno yang mana saya memang ada pengalaman yang baik di sana (Brno). Saya mahu berjuang sepanjang perlumbaan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Idham yang juga pelumba muda Malaysia sekali lagi menanam tekad untuk memperbaiki prestasinya selepas gagal menyerlah dalam perlumbaan GP Sepanyol dan GP Andalusia.

“Saya memang tahu selok-belok mengenai Litar Brno dan mahu meraih mata pertama kali ini. Bagi saya Litar Brno memiliki banyak selekoh. Namun, biarpun litar itu agak teknikal, saya ada kenangan istimewa pada 2016 lalu apabila saya dan McPhee bersaing hebat untuk menaiki podium.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun, saya memang gemarkan Litar Brno ini yang mana anda perlu sentiasa pantas sepanjang perlumbaan. Saya harap dapat mencapai keputusan positif sebagaimana yang diharapkan pada perlumbaan kali ini," jelasnya.

Dalam pada itu, dua pelumba Moto2 Petronas Sprinta Racing, Xavi Vierge dan Jake Dixon mempunyai sasaran peribadi menjelang perlumbaan GP Republik Czech kali ini.

Tatkala Vierge memburu sekurang-kurangnya kedudukan lima terbaik, Dixon pula mahu mengubah nasibnya hujung minggu ini setelah gagal menamatkan perlumbaan pada GP Andalusia akibat masalah enjin.