Pihak berkuasa Macau jangan ambil mudah isu Jho Low: KPN

Jho Low dan Abdul Hamid
Jho Low dan Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa Macau perlu mengambil berat notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol berhubung ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikesan berada di Macau baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ini berikutan Jho Low dikesan telah membuat beberapa transaksi perniagaan di Macau dan pihak berkuasa negara berkenaan pula didapati enggan memberi kerjasama serta tiada maklum balas.

“Kami telah menghantar pegawai polis ke Macau untuk berjumpa dengan pihak berkuasa negara itu untuk bekerjasama dalam hal ini.

“Mereka sepatutnya mengambil berat dalam hal ini kerana Jho Low (disyaki) merupakan seorang penjenayah dan perompak yang menyebabkan Malaysia mengalami hutang negara berbilion ringgit,” katanya selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa negara itu kerana isu Jho Low ini merupakan isu jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan isu politik.

“Negara kita menjadi mangsa dan akibatnya RM50 bilion hasil negara hilang. Oleh yang demikian, saya minta pasukan polis dari negara berkenaan untuk membantu kita, apa salahnya? Kita ada Interpol, boleh bersama-sama berbincang dan bertanggungjawab memburu penjenayah ini.

“Itu yang saya harapkan...mereka ini mesti mempunyai naluri sebagai seorang pegawai polis...bukan keluar kenyataan kata maklumat kami tidak tepat (mengenai keberadaan Jho Low) sedangkan Jho Low dikesan melakukan transaksi perniagaan di Macau?,” katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau tidak akan berputus asa dalam membawa pulang Jho Low ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

“Macau tidaklah sebesar negara Siberia, ia hanya satu koloni kecil, susah sangat ke hendak tahan Jho Low?

“Sekiranya saya gagal (membawa pulang Jho Low) saya minta kepada yang akan menggantikan saya (Ketua Polis Negara) selepas ini perlu meneruskan usaha buru Jho Low,” katanya.

Kontrak ketua polis negara itu dijadual tamat pada Mei tahun depan.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang lelaki berkenaan.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama