Pelitup muka pelengkap langkah cegah Covid-19

Dr Rushdan ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? di sini malam tadi. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Dr Rushdan ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? di sini malam tadi. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Pemakaian pelitup muka merupakan pelengkap kepada langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 selepas amalan membasuh tangan dengan sabun dan penjarakkan fizikal.

Pakar Perundingan Perubatan Dalaman dan Gastroenterologi KPJ Rawang, Dr Rushdan Abdul Aziz berkata, pemakaian pelitup muka tidak efisien jika dua amalan terbabit tidak dipraktikkan terlebih dahulu.

Oleh kerana itu menurutnya, kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak.

"Kita pakai pelitup muka untuk halang rembesan kita terkena orang lain. Itu paling utama. Kalau kita bergejala, rembesan kita akan tersangkut pada pelitup muka maka insya-ALLAH tidak merebak kepada orang lain.

"Dulu tidak wajib pakai sebab kita kena fokus melindungi petugas kesihatan dan sekarang stok pelitup muka sudah banyak, maka ada 14 kawasan diwajibkan pakai," ujarnya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Harian Siri 185 bertajuk Pakai 'mask': Selamat atau Sengsara? di sini malam tadi.

Wacana yang disiarkan secara langsung di platform media sosial Sinar Harian itu turut menampilkan panelis, Pakar Mikrobiologi Klinikal USIM, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dan Pakar Psikiatri, Dr Nurul Nadia Ismail serta moderator, Azlan Nabees Khan.

Dalam pada itu Dr Rushdan berkata, memandangkan kanak-kanak berusia bawah dua tahun sukar memakai pelitup muka dengan betul maka golongan tersebut tidak digalakkan dibawa ke tempat awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara sama juga disaran untuk individu yang mempunyai masalah pernafasan atau asma serius kerana dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

"Pakai pelitup muka walaupun oksigen masuk tapi akan rasa sesak nafas dan mereka yang ada masalah pernafasan akan berusaha lebih untuk bernafas serta cepat penat.

"Sebab itu ketika beriadah tidak boleh pakai pelitup muka. Apa yang penting muka adalah kawasan keramat. Jangan sentuh jika tangan tidak basuh dengan sabun," katanya.