Arul mampu pacu Malaysian Tigers

Muhamad Amin dan laporan Sinar Online baru-baru ini.
Muhamad Amin dan laporan Sinar Online baru-baru ini.
A
A
A

Barisan pemain dan jurulatih skuad hoki negara percaya dengan kemampuan ketua jurulatih baharu, A Arul Selvaraj dalam membimbing Malaysian Tigers meraih pingat emas pada Sukan Asia 2022.

Penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim berkata, tempoh dua tahun cukup bagi Arul menjadikan skuad Malaysian Tigers sebagai pencabar utama di Hangzhou, China kelak.

Beliau berkata, gandingan pemain muda dan senior pada masa ini turut akan membantu Arul menyediakan sebuah pasukan yang mantap untuk meraih pingat emas Sukan Asia, sekali gus menempah slot kelayakan automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau ada perancangan dan latihan betul, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh menang emas. Pada Sukan Asia 2018, kita hampir menang emas di bawah kendalian Stephen Van Huizen walaupun tiada jurulatih antarabangsa, jadi saya tidak nampak ia sesuatu yang mustahil dengan cara tempatan ini.

“Saya rasa untuk peringkat Asia, pasukan seperti Malaysia, India, Pakistan dan Jepun mempunyai peluang seimbang,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans dalam laporan sebuah stesen televisyen baru-baru ini, bahawa Malaysia tidak mampu meraih emas Sukan Asia kerana masih jauh ketinggalan dari segi kualiti pemain dan fasiliti berbanding pasukan seperti India.

Pemain tengah negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil turut yakin dengan kemampuan Arul untuk menyediakan pasukan bagi meraih emas Sukan Asia selepas beraksi di bawah kendalian jurulatih itu.

“Saya harap Arul akan bawa rekod baik di kelab ke pasukan kebangsaan untuk bantu kami dapatkan sentuhan yang positif. Kami harap beliau dapat tingkatkan teknikal dan taktikal barisan pemain sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Kelebihan beliau adalah menerapkan sentimen bahawa pasukan adalah lebih besar daripada individu supaya pemain akan lebihkan kepentingan pasukan berbanding individu,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Arul teruja mulakan tugas bersama Malaysian Tigers