Terima maklumat Covid-19 daripada sumber rasmi sahaja

Proses sanitasi dijalankan di Klinik Kesihatan Napoh yang menjadi pusat ujian saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster baharu di kawasan tersebut. -Foto Bernama
Proses sanitasi dijalankan di Klinik Kesihatan Napoh yang menjadi pusat ujian saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster baharu di kawasan tersebut. -Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Masyarakat di Kulim diminta agar hanya menerima maklumat berkaitan penularan wabak koronavirus di daerah ini daripada sumber rasmi kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, ini kerana maklumat yang diterima daripada berita tidak tepat dan khabar angin akan menimbulkan panik dan menggusarkan keadaan.

Beliau berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab mereka cerita dan menyebarkan berita tidak benar akan disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Hentikan segera penyebaran berita palsu bagi mengelak tercetus suasana panik dalam kalangan masyarakat.

"Individu terbabit tidak perlu berseronok dengan sebar berita sensasi yang tidak benar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam masa sama, semua pihak perlu lebih berhati-hati selain meningkatkan tahap kebersihan dan kepatuhan diri masing-masing bagi mengelak penularan Covid-19.

"Semua pihak di peringkat penguatkuasaan dan pemulihan telah melaksanakan tindakan di peringkat masing-masing bagi mengelak penularan.

"Patuhi peraturan ditetapkan kerajaan serta tingkatkan tahap kebersihan diri, keluarga, serta komuniti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam daripada 15 kes baharu Covid-19 dikesan daripada Kluster Sivagangga, kesemuanya merupakan kes generasi kedua dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga yang mempunyai sejarah mengunjungi salah satu kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kedah.

Siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes dilaporkan 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit dikenal pasti dan disaring, namun punca jangkitan masih dalam siasatan.

Setakat semalam, seramai 2,351 orang disaring dalam kluster berkenaan dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif manakala 704 lagi yang diambil pensampelan masih menunggu keputusan.