JSJK selesaikan lebih 50,000 kes tertunggak sejak 2000

Abdul Hamid (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Mess Kanan, Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid (tengah) bergambar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Mess Kanan, Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyelesaikan 50,853 daripada 73,425 kes yang tertunggak sejak 20 tahun lepas membabitkan pelbagai jenis jenayah komersial, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha menyelesaikan baki 22,572 kes, selain lebih 14,000 kes baharu yang dilaporkan pada tahun ini.

"Di bawah pimpinan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman (Datuk Zainuddin Yaacob) yang baharu, saya minta supaya segera meneruskan usaha menyelesaikan baki kes tertunggak sejak tahun 2000 ini.

"Pegawai penyiasat kes telah diberikan tanggungjawab untuk menyiasat kes serta perlu dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan atau berdepan dengan tindakan daripada saya jika mereka tidak mempunyai alasan ‘terbaik’ mengapa kes tidak dapat diselesaikan," katanya kepada Bernama selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah JSJK, di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid turut mendedahkan terdapat beberapa kes yang sedang diadili Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM membabitkan pegawai penyiasat yang cuai dan tidak mengambil tindakan sepatutnya dalam menyelesaikan kes tertunggak sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara itu turut mengingatkan syarikat telekomunikasi (telco) dalam negara agar memainkan peranan membantu polis mengurangkan peningkatan kes jenayah komersial.

"Penjenayah ini mampu memperoleh maklumat dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit jadi syarikat telco kena pastikan setiap pembelian dan pendaftaran nombor telefon oleh pembeli termasuk warga asing mesti mengikut peraturan seperti butiran kad pengenalan diri dan pasportnya dicatat,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata pihaknya akan menggandakan usaha bagi menyelesaikan kes-kes tertunggak.

Artikel Berkaitan:

"Kami faham akan keutamaan perlu diberikan kepada kes-kes lama, jadi ini akan dilakukan di samping kes-kes melibatkan jenayah pecah amanah yang menjadi keutamaan," katanya.

Pada 12 Julai, Abdul Hamid berkata, kesemua kes-kes ‘sejuk beku’ JSJK Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan disiasat semula dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya. - Bernama