Perketat permohonan daftar syarikat baharu: MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Gambar kecil: A Balasubramaniam
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Gambar kecil: A Balasubramaniam
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diminta meneliti, menyemak dan memperketatkan semua permohonan untuk mendaftar syarikat baharu.

Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam berkata, SSM juga perlu memastikan syarikat tidak mengambil kesempatan dengan menutup operasi dan menubuhkan atau mendaftar syarikat baharu mengikut kehendak mereka.

Katanya, kebelakangan ini banyak syarikat menutup operasi tanpa membayar pampasan kepada pekerja yang mereka berhentikan.

"Ia salah satu taktik buruk bagi pihak majikan melarikan diri dari tanggungjawab mereka untuk membayar pampasan kepada pekerja pekerja yang dihentikan kerja.

"Salah satu kelemahan yang wujud dalam Akta Syarikat adalah memberi keutamaan kepada pihak pemiutang bukannya kepada pekerja yang menjadi nadi kepada pertumbuhan sesebuah syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, walaupun Skim Insurans Pekerja (EIS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi bayaran perlindungan kepada pekerja yang diberhentikan tetapi itu hanya untuk jangka masa pendek sahaja.

"Oleh itu adalah baik sekiranya pihak SSM meneliti secara cermat latar belakang sesebuah syarikat yang membuat permohonan baharu.

"Syarikat kecenderungan mengambil langkah mudah untuk lari dari tanggungjawab mereka sekiranya perkara ini tidak dikaji dengan serius," katanya.

Artikel Berkaitan: