Perintah eksekutif larang transaksi TikTok, WeChat

Trump mahu mengharamkan aplikasi TikTok di AS yang merupakan aplikasi rekaan sebuah syarikat berpangkalan di China.
Trump mahu mengharamkan aplikasi TikTok di AS yang merupakan aplikasi rekaan sebuah syarikat berpangkalan di China.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Donald Trump pada Khamis menandatangani dua perintah eksekutif melarang sebarang transaksi oleh syarikat dan penduduk Amerika Syarikat (AS) untuk aplikasi media sosial TikTok serta WeChat, bermula 20 September, lapor Agensi Anadolu.

"Penyebaran aplikasi mudah alih di AS, khususnya, yang dibangunkan dan dimiliki syarikat China, terus mengancam keamanan negara, dasar luar serta ekonomi AS," menurut perintah eksekutif itu.

Menurut kedua-dua perintah itu AS 'mesti mengambil tindakan agresif' terhadap pemilik TikTok dan WeChat 'untuk melindungi keselamatan negara kita.'

Pada 3 Ogos, Trump memberi tempoh sehingga 15 September kepada bakal pembeli operasi TikTok AS untuk membuat perjanjian, mengancam akan melarang aplikasi video di negara itu.

Menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan negara, Trump menegaskan beliau tidak mahu TikTok berada di bawah kawalan China.

"Tempoh akan tamat pada 15 September, kecuali Microsoft atau orang lain dapat membelinya dan membuat perjanjian yang sesuai." - Bernama

Artikel Berkaitan: