Eksekutif kanan rugi RM419,012 diperdaya Macau Scam

Aibee Abd Ghani
Aibee Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Seorang eksekutif kanan wanita kerugian RM419,012 akibat diperdaya sindiket Macau Scam bermula Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, semuanya bermula selepas mangsa berusia 39 tahun dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Suspek memberitahu bahawa mangsa telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Seri Kembangan, Selangor mengakibatkan kematian seorang individu pada 18 Mei lalu.

"Mangsa menafikan perkara itu dan suspek kemudian menyambung talian ke Balai Polis Seri Kembangan dan seorang anggota polis memaklumkan pula bahawa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai RM23 juta," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, mangsa telah diminta oleh suspek untuk membuka satu akaun bank baharu atas alasan akaun bank miliknya kini dalam siasatan.

Beliau berkata, pada 22 Mei, mangsa telah membuka satu akaun bank baharu di Seremban dan telah diingatkan oleh suspek supaya tidak memberitahu kes itu kepada orang lain kerana ia adalah sulit.

"Bermula 23 Mei, mangsa telah keluarkan wang simpanan di empat akaun banknya dan telah memasukkan wangnya secara berperingkat ke dalam akaun bank baharu yang dibuka.

"Kali terakhir mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank baharunya pada 25 Jun yang jumlah keseluruhan bernilai RM419,012," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menyedari ditipu pada Rabu lalu apabila mendapati wang dalam akaun banknya hanya tinggal RM102.50.