Tak mustahil 'Raja Barcelona' ke Inter

Messi
Messi
A
A
A

BEKAS pengarah Barcelona, Ariedo Braida tidak menolak kemungkinan Lionel Messi akan menyertai pasukan Itali, Inter Milan walaupun perkara tersebut dilihat sukar untuk berlaku.

Menurutnya, apa jua boleh berlaku dalam sukan bola sepak ini selain Inter juga dilihat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Messi.

"Saya sangat mengenali Messi dan perpindahan ke kelab lain adalah sangat sukar untuk direalisasikan. Dia bagaikan raja di sana dan disayangi kesemua orang di bandar tersebut.

"Namun, saya tidak mahu menolak perpindahan tersebut kerana semuanya boleh berlaku dalam bola sepak. Dia seorang pemain yang memiliki magis dan dapat mencipta impak walaupun dimana dia berada.Seseorang seperti dia dilahirkan 30 tahun sekali dan sudah tentu banyak pasukan mahukan khidmatnya," katanya.

Persoalan mengenai masa depan penyerang Argentina itu kembali hangat diperkatakan selepas masih belum menandatanagani sebarang kontrak dengan Barcelona walaupun kontraknya bakal berakhir tahun depan.

Keengganan Messi menandatangani kontrak tersebut dipercayai berkait rapat dengan hubungan kurang baik dengan pengurusan kelab itu.

Inter pula sudah lama tertarik untuk membawa masuk Messi ke kelab itu dan sedang cuba dengan membuat beberapa rundingan dengan wakil pemain berusia 33 tahun itu dan pengurusan Barcelona sendiri.

Dalam pada itu, Braida melihat pertemuan Barcelona menentang Napoli pada aksi 16 pasukan terbaik Ahad ini merupakan perlawanan sukar menentukan pasukan yang layak ke peringkat seterusnya apatah lagi agregate semasa terikat 1-1.

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak Napoli bermain baik dalam beberapa perlawanan terakhir dan mereka bersedia untuk menewaskan Barcelona. Apa yang penting buat Napoli adalah berdisiplin dan jangan berikan ruang buat Messi bergerak bebas," katanya.