Mesej pekerja nasi kandar dijangkiti Covid-19 palsu

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis mengesahkan mesej yang tular melalui aplikasi Whatsapp bahawa seorang pekerja Restoran Nasi Kandar Subaidah di Jalan Chain Ferry, Butterworth positif wabak koronavirus (Covid-19) adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mesej beserta klip audio dan gambar restoran itu didapati disebarkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan pelanggan.

Menurutnya, kewujudan mesej tersebut disedari pengarah restoran nasi kandar tersebut pada jam 4 petang, semalam.

"Pengarah restoran tersebut menerima mesej di dalam bahasa Tamil itu daripada kawannya menerusi Whatsapp mendakwa salah seorang pekerjanya dijangkiti Covid-19. Mesej itu memaparkan gambar salah satu cawangan premis iaitu di Jalan Chain Ferry

"Akibat daripada itu, semua pelanggan telah meninggalkan premis tersebut selain meminta orang ramai tidak mengunjungi restoran berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati, kandungan mesej tersebut tidak benar.

"Hasil rakaman percakapan pengarah berusia 32 tahun itu, dia mengesahkan semua kandungan mesej itu tidak benar. Dia juga mendakwa menerima mesej itu daripada salah seorang rakan yang bertanya kepadanya tentang kesahihan mesej tersebut.

"Sementara itu, rakan pengarah itu juga mengakui menerima mesej itu dari rakannya yang lain. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan sumber yang menyebarkan mesej palsu itu belum berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengarah tersebut mendakwa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang pelanggan telah mengambil gambar dalam restoran tersebut pada jam 7.50 pagi, semalam.

"Bagaimanapun, kualiti rakaman CCTV itu kabur dan tidak jelas yang menampakkan perbuatan lelaki tersebut. Semakan pada buku pengesanan kontak juga tidak berhasil kerana dia gagal dihubungi.

"Kita sedang berusaha mengesan individu tersebut yang dikatakan merakam dan menyebarkan mesej yang tidak sahih ini," katanya.