PPM Wilayah Tiga patahkan kegiatan edar air ketum

Bungkusan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Tanah Putih, Kuantan kelmarin. -Foto PPM Wilayah Tiga
Bungkusan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Tanah Putih, Kuantan kelmarin. -Foto PPM Wilayah Tiga
A
A
A

KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 427 bungkus air ketum dianggarkan bernilai lebih RM4,000 hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Tanah Putih di sini, Rabu lalu.

Hasil serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, pemilik rumah berusia 57 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Mohamad Said berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bertindak menyerbu rumah berkenaan kerana disyaki menjadi 'port' kegiatan pengedaran air ketum di daerah ini.

"Ketika serbuan seorang lelaki (suspek) berada di rumah dan mengaku sebagai pemilik rumah. Pemeriksaan segera dilakukan di dalam rumah namun tidak menjumpai sebarang barangan salah.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut di belakang rumah menemui tiga tong ikan dan satu tong polisterin yang mencurigakan," katanya.

Norzaid berkata, hasil pemeriksaan ke atas tong-tong tersebut menemui 427 bungkus air ketum.

"Suspek dan barang rampasan dibawa balik ke markas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952.

"Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dan pengedaran bahan terlarang di daerah ini.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di talian 09-5137726," katanya.