Isteri ambil alih tugas suami

Hasbullah (terlantar) bersama Asiah sewaktu menerima kunjungan Zamrie (tiga, kiri) di rumahnya di Taman Renggam Jaya.
Hasbullah (terlantar) bersama Asiah sewaktu menerima kunjungan Zamrie (tiga, kiri) di rumahnya di Taman Renggam Jaya.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Seorang wanita warga emas di Taman Renggam Jaya, di sini, terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga selepas suaminya yang menjadi tonggak keluarga disahkan lumpuh separuh badan sejak enam tahun lalu.

Asiah Jemali, 60, berkata, suaminya, Hasbullah Frank Abdullah, 60, kini hanya terlantar selepas lumpuh pada bahagian badan sebelah kiri akibat penyakit darah tinggi kronik dan terpaksa mengharapkan bantuan dia dan tiga anaknya untuk menguruskan diri.

“Sebelum ini suami bekerja sebagai pemandu lori di Kluang dan makcik pula hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institusi perbankan di Simpang Renggam dan dengan pendapatan tidak seberapa inilah makcik menyara suami.

“Biasanya sebelum makcik pergi kerja, makcik akan sediakan segala keperluan suami termasuk makan serta minum dan dia boleh suap sendiri makanan dan minuman walaupun dalam keadaan sukar,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Sukarelawan Anak Selatan, semalam.

Asiah berkata, dia yang tinggal di rumah tersebut bersama anak bongsunya, Rashidah, 23, dan cucunya, Anisah Faiha Ahmad Fauzi, 8, juga terpaksa meminta bantuan abang iparnya, Marzuki Charles Abdullah, 63, untuk memandikan suaminya yang tinggal di taman yang sama pada setiap hari.

Katanya, dia juga mengakui kudratnya tidak berupaya untuk mengangkat dan memandikan suaminya selain mengakui terpaksa mengeluarkan duit simpanannya sendiri untuk membeli lampin pakai buang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sebelum ini suami dapat bantuan lampin daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana sudah menerima pencen ilat, dan sejak enam bulan lalu, bekalan lampin terputus dan makcik terpaksa beli sendiri lampin tersebut.

“Setiap bulan suami memerlukan sekurang-kurangnya 12 beg lampin pakai buang dan Perkeso beritahu makcik bahawa bekalan lampin di seluruh negara terputus kerana proses menukar pembekal dan makcik juga boleh melakukan tuntutan pembelian lampin di Perkeso,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suaminya kini hanya menerima pencen ilat sebanyak RM600 sebulan dan mengakui dengan pendapatannya yang tidak seberapa, dia banyak membelanjakan wangnya untuk kos perubatan suaminya menyebabkan pasangan itu terpaksa mengikat perut sekiranya terputus punca kewangan.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Anak Selatan, Zamrie Baharuddin berkata, beliau terpanggil untuk membantu pasangan suami isteri tersebut dan hasil sumbangan orang ramai, beliau berjaya membelikan Hasbullah beberapa beg lampin pakai buang dan barangan keperluan harian.