Guan Eng mengaku tidak bersalah

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharudin Wan Ladin, manakala Guan Eng diwakili peguam, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Wan Saharudin berkata, jaminan RM2 juta ditawarkan memandangkan perkara yang dilakukan serius kerana semasa kejadian tertuduh menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan tertuduh juga menyebabkan ketidakpercayaan masyarakat dan ia ibarat 'kanser' kepada rakyat," katanya sewaktu prosiding pendakwaan, hari ini.

Bagaimanapun Gobind memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan berkenaan terlalu tinggi dan memaklumkan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang kes berlangsung dan sanggup hadir ke pejabat SPRM sehingga jam 10 malam tadi.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin serta pasport antarabangsa ditahan sehingga kes selesai.

Azura turut memerintahkan Guan Eng, membayar jaminan RM 500,000 hari ini dan bakinya RM 500,000 pada Isnin depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin DAP bersolidariti, sedia lawan untuk Guan Eng

Kes terowong: SPRM sahkan Lim Guan Eng didakwa esok