Waris tak sangka dapat manfaat

Nik Zah (dua dari kanan) dan Mohd Zulhilmi (dua dari kiri) menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian SSPN-i Plus yang disampaikan oleh Hanafiah (tengah) sambil diiringi Ahmad Dasuki (kiri) di Kuala Terengganu hari ini.
Nik Zah (dua dari kanan) dan Mohd Zulhilmi (dua dari kiri) menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian SSPN-i Plus yang disampaikan oleh Hanafiah (tengah) sambil diiringi Ahmad Dasuki (kiri) di Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal dari Jerteh, Besut tidak dapat menahan sebak apabila memperoleh manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM42,558.66 hasil penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) yang dilakukan oleh arwah anaknya.

Nik Zah Mamat, 59, berkata, sebelum ini beliau tidak mengetahui bahawa anak keenamnya, Muhammad Hafiz Baharudin, 26, menyimpan menerusi SSPN-i Plus.

Menurutnya, wang yang ditinggalkan anaknya itu akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya beroleh keberkatan di dunia dan akhirat.

“Saya terharu dan tak tahu nak kata apa. Sebelum ini saya tak tahu dia ada simpan di SSPN-i Plus. Arwah sememangnya seorang anak yang baik dan pandai bekerja serta mencari rezeki untuk menyara diri sendiri dan keluarga.

“Saya akan gunakan manfaat simpanan ini bagi melaksanakan upah haji dan untuk saham akhiratnya,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Dasuki
Ahmad Dasuki

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful Penabungan SSPN-i Plus dan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Long MSIG Takaful (HLMT), Mohd Asri Omar.

Artikel Berkaitan:

Selain pendeposit SSPN-i Plus, Allahyarham Muhammad Hafiz juga merupakan peminjam PTPTN dan hutang pinjaman berjumlah RM24,238.01 telah selesai sepenuhnya melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN.

Allahyarham yang bekerja sebagai rider Foodpanda secara sambilan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Shah Alam pada 19 Mei lalu ketika dalam perjalanan menghantar pesanan makanan.

Sementara itu, seorang lagi waris penerima manfaat SSPN-i Plus, Mohd Zulhilmi Rosli, 25, memperoleh manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM140,160 selepas ibunya, Normah Ibrahim meninggal dunia akibat kanser pada 19 Mac lalu.

Katanya, sepanjang hayat ibunya, beliau serta lima adiknya tidak mengetahui bahawa ibunya menyimpan menerusi SSPN-i Plus untuk mereka enam beradik.

Menurutnya, manfaat ini dapat membantu empat adiknya yang masih belajar iaitu dua di Universiti Awam (UA) manakala dua lagi di sekolah menengah dan sekolah rendah.

“Masa arwah mak masih hidup kami adik-beradik tak tahu mak ada menyimpan dalam SSPN-i Plus. Kami menemui dokumen berkaitan ketika mengemas biliknya dan berhubung dengan pihak PTPTN.

“Waktu itu kami baru tahu mak ada buat simpanan untuk kami enam beradik. Wang ini dapat membantu menampung pengajian adik-adik,” katanya yang akan turut membuka akaun simpanan untuk anaknya.

Bayi lahir di Terengganu layak dapat Skim Permata Sejahtera

Sejak tahun 2015 kerajaan negeri telah menyediakan tabungan seawal kelahiran kepada setiap kelahiran baharu di Terengganu melalui Skim Permata Sejahtera yang diberikan dalam bentuk simpanan SSPN.

Hanafiah berkata, inisiatif itu dilaksanakan untuk menggalakkan tabungan seawal kelahiran dengan harapan dapat menyumbang perkembangan positif kepada pembangunan negeri selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan.

“Kita menyeru rakyat Terengganu untuk merebut peluang yang ada dengan membuka dan menambah simpanan kerana ia pilihan penabungan pendidikan yang terbaik untuk masa depan pendidikan anak-anak.

“Badan korporat dan agensi kerajaan serta swasta lain di Terengganu juga diminta turut memberikan sumbangan pendidikan berupa pembukaan atau penambahan akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak kita dapat melahirkan anak Terengganu yang bebas daripada bebanan hutang kerana mempunyai perancangan simpanan pendidikan yang tersusun melalui produk SSPN,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, skim pinjaman pendidikan yang dilaksanakan PTPTN adalah komprehensif kerana turut dilengkapi perlindungan takaful.

Katanya, ia bertujuan untuk melindungi pinjaman yang diberikan oleh PTPTN sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam agar tidak membebankan peminjam dan waris.

“Sehingga 30 Jun 2020 pembukaan akaun SSPN-i Plus mencecah 536,907 akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM478.5 juta serta jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM24.8 billion.

“Bagi negeri Terengganu pula sebanyak 26,504 akaun telah dibuka dengan jumlah deposit RM22.68 juta,” katanya.