X

Kindly register in order to view this article
!

Rempuh bot polis, penyeludup ketum larikan diri

Daun ketum berjumlah 250kg bernilai RM22,500 dirampas daripada penyeludup yang cuba dibawa keluar ke Thailand melalui laluan tikus di pangkalan haram di Tumpat.
A
A

TUMPAT - Seorang pemandu bot yang dipercayai penyeludup ketum bertindak nekad melanggar bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor untuk melarikan diri dari ditahan pada serbuan di pangkalan haram Haji Rashid, Sungai Mentua di sini awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 12.20 pagi itu suspek meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran bagaimanapun sejumlah 250 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM22,500 berjaya dirampas.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad berkata, serbuah dilakukan pada Op Benteng Covid.

Katanya, ketika pasukan sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan mengesan pergerakan sebuah bot enjin galah dari arah Jambatan Pulah Ular dan menghampiri untuk memeriksanya.

“Secara tiba-tiba pemandu bertindak melanggar bahagian tepi kiri bot pasukan dan melarikan diri ke tebing pangkalan haram Haji Rashid.

“Pasukan kemudian mengejar sehingga ke tebing tetapi pemandu dapat melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke dalam bot enjin galah berkenaan menjumpai 250 kg daun ketum yang dipercayai cuba diseludup melalui jalan tikus ke negara jiran Thailand.

“Kesemua barangan rampasan termasuk bot dibawa ke markas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Akta Racun 1952,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!