Filipina pintas Indonesia kes Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara

Pemandu bas 'jeepney' yang terjejas akibat Covid-19 beratur ketika menerima bantuan makanan di Manila semalam. - Foto AFP
Pemandu bas 'jeepney' yang terjejas akibat Covid-19 beratur ketika menerima bantuan makanan di Manila semalam. - Foto AFP
A
A
A

MANILA - Filipina semalam merekodkan lonjakan kes koronavirus (Covid-19) menjadikan kes kumulatif positif di negara itu sebanyak 119,460 kes, sekali gus mengatasi Indonesia (118,753 kes) sebagai negara yang paling teruk terjejas di Asia Tenggara.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan sebanyak 3,561 kes tambahan dengan Manila merekodkan kes jangkitan harian tertinggi mengatasi Jakarta.

Pusat wabak di Metro Manila yang kembali menguatkuasakan perintah berkurung menyumbang sebanyak 57 peratus jangkitan kes baharu atau bersamaan 2,041 kes.

Ia diikuti Laguna dengan 222 kes tambahan, Cebu (221), Cavite (100) dan Rizal yang mencatat 81 kes baharu.

Langkah pemerintah Filipina melonggarkan sekatan pergerakan pada Jun lalu dikatakan menjadi punca lonjakan drastik kes di negara itu.

Dua hari lalu, Filipina merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 6,352 kes jangkitan baharu.

Ketika ini, terdapat 50,473 kes aktif di seluruh negara dengan 91 peratus bergejala ringan dan lapan peratus lagi membabitkan kes tidak simptomatik.

Setakat semalam, seramai 569 pesakit dilaporkan pulih menjadikan angka kumulatif pulih meningkat sebanyak 66,837.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jumlah kematian meningkat kepada 2,150 selepas pihak berkuasa kesihatan mengesahkan 28 kematian baharu semalam.

Pun begitu, Indonesia masih kekal sebagai negara yang mencatatkan kadar kematian tertinggi di rantau ini dengan 5,452 kematian.

Filipina muncul sebagai pusat wabak di Asia Tenggara ketika negara itu secara rasmi memasuki kemelesetan pada suku kedua tahun 2020.

Sebelum ini, Presiden Rodrigo Duterte dengan berat hati kembali menguatkuasakan arahan duduk di rumah dan tindakan lain susulan desakan kakitangan kesihatan yang memberi amaran negara itu belum menang menentang virus terbabit.

Lebih 27 juta orang di pusat bandar Metro Manila dan empat wilayah diberikan notis 24 jam berhubung sekatan baharu yang menutup perniagaan dan pengangkutan awam manakala penerbangan dihentikan sehingga 18 Ogos ini.

Pemerintah turut menyalahkan ketidakpatuhan terhadap protokol kesihatan yang menjadi punca peningkatan ketara kes jangkitan baharu. - Agensi