Biar ‘gila’ emas janji ada simpanan

Emas menjadi salah satu aset selamat kerana dianggap sebagai penyimpan nilai. - Gambar hiasan
Emas menjadi salah satu aset selamat kerana dianggap sebagai penyimpan nilai. - Gambar hiasan
A
A
A

SEBUT sahaja ‘pulut dakap’, ‘roti ban’, ‘biji jagung’, ‘biji sawi’, ‘mata petai’, ‘coco lipan’ dan yang terkini ‘biskut tawar’ pastinya gelaran reka bentuk barangan perhiasan emas itu cukup dikenali oleh kebanyakan kaum wanita.

Masakan tidak, rekaan terkini barang kemas yang menjadi trend menyebabkan ramai kaum wanita ‘gila emas’ sehingga taksub untuk memilikinya.

Umumnya emas yang paling popular dijadikan barang kemas adalah 916 atau 22K yang terdiri daripada 91.67 peratus emas tulen dan 8.33 peratus terdiri daripada logam seperti perak, zink, nikel dan aloi lain. Jadi nama emas 916 diperoleh daripada 91.67 peratus.

Kaum wanita sememangnya sudah dididik sejak dahulu supaya membeli barangan emas jika ada lebihan wang berbanding membeli perhiasan lain yang tiada nilai pada masa depan.

Bukan sahaja boleh melaram sambil menyimpan, namun emas dikatakan mempunyai aura yang membuatkan wajah pemakaiannya tampak lebih muda dan dapat mengurangkan stres dan keresahan.

Pesona kilauan emas itu sendiri dapat memberikan keceriaan dan membantu pemakainya untuk menjadi lebih bersemangat.

Apatah lagi jika emas itu dibeli daripada hasil titik peluh sendiri atau diberikan oleh insan tersayang, tentu sahaja ia menyuntik semangat positif pemakainya.

Membeli emas tidak dianggap satu pembaziran, sebaliknya ia merupakan simpanan dalam ‘diam’. Emas menjadi salah satu aset selamat kerana dianggap sebagai penyimpan nilai.

Artikel Berkaitan:

Ironinya, menyimpan emas lebih untung daripada menyimpan wang kerana nilai emas stabil di pasaran dunia.

Dalam situasi kecemasan yang memerlukan wang segera, emas pada bila-bila masa boleh digadai atau dipajak kerana ia mempunyai tahap kecairan yang tinggi selepas akaun simpanan.

Tiada siapa sangka negara malah seluruh dunia akan menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) yang mengakibatkan punca pendapatan rakyat terjejas.

Dalam menghadapi kemelut itu, dengan adanya simpanan barang kemas sudah pasti menjadi ‘talian hayat’ yang membantu berdepan situasi sukar itu. Malah, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat ramai yang menyerbu kedai pajak gadai untuk berurusan memajak emas.

Tertinggi

Harga emas dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.

Baru-baru ini Citigroup dalam laporan tinjauan komoditi suku ketiganya berkata, terdapat 30 peratus kemungkinan harga emas akan melepasi AS$2,000 seauns atau lebih RM300 gram dalam tempoh tiga hingga lima bulan lagi.

Harga emas hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun apabila kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 dan jangkaan inflasi daripada lebih banyak langkah rangsangan ekonomi meningkatkan permintaan ke atas logam berharga itu.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud dilaporkan berkata, melihat keadaan ekonomi dunia yang tidak nampak tanda pemulihan dalam masa singkat ini, harga emas akan kekal tinggi sehinggalah vaksin Covid-19 dibangunkan.

Selagi vaksin Covid-19 tidak ditemui dan banyak negara terpaksa menutup perniagaan, selagi itulah harga emas akan meningkat kerana permintaan sangat tinggi disebabkan pelabur telah beralih kepada komoditi yang selamat.

Pada hemat penulis, walaupun harga emas semakin naik mencanak, namun pelanggan terus membeli barangan berharga itu kerana khuatir jika ditunggu harga makin naik.

Semalam, harga emas 916 menurut laman web arrahnuxchange adalah sebanyak RM287.23 segram.

Meskipun harga pasaran melambung tinggi, namun rata-rata kedai emas tetap dipenuhi pelanggan.Tempoh moratorium bayaran pinjaman susulan Covid-19 turut memberi peluang orang ramai mempunyai lebihan wang untuk membeli emas sebagai simpanan.

Bagaimanapun, membeli emas mestilah ada ilmu. Rajin-rajinlah mengkaji dan mengambil petua yang dikongsikan agar pelaburan jangka panjang itu berbaloi.