X

Kindly register in order to view this article
!

SPRM minta undang-undang wajibkan AP isytihar harta digubal

Shamshun Baharin
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta agar satu undang-undang yang mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka digubal.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, undang-undang itu boleh dikuatkuasakan tahun depan jika pihak berkaitan berusaha untuk menjadikan ia suatu realiti.

Bercakap dalam satu wawancara di MACC.fm (My Anti-Corruption Channel) hari ini beliau berkata, rang undang-undang itu boleh dibentangkan di parlimen seawal hujung tahun ini jika semuanya berjalan lancar.

Shamshun Baharin berkata, tanpa undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan harta itu, SPRM hanya memainkan peranan sebagai ‘penjaga’ sekiranya borang pengisytiharan harta diserahkan kepadanya.

Jika Ahli Parlimen tidak mengisytiharkan harta mereka, hanya Parlimen boleh mengambil tindakan terhadap mereka dan hukumannya tidak begitu keras, kata beliau.

"Buat masa ini, kita tidak mempunyai satu undang-undang khas (yang mewajibkan pengisytiharan harta), jadi kita tidak boleh melakukan sebarang pengesahan berhubung dokumen pengisytiharan yang kami terima.

"Jika isu rasuah timbul susulan pengisytiharan harta itu, kami akan mengguna pakai peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk melakukan siasatan," katanya sambil menambah bahawa pengisytiharan harta semasa hanya dikawal oleh Kod Etika Ahli Parlimen.

Shamshun Baharin berkata, Ahli Parlimen perlu turut menzahirkan sokongan penuh terhadap undang-undang yang dicadangkan itu.

Pada Julai tahun lepas, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan usul yang mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka dan harta isteri atau suami, anak-anak serta pemegang amanah masing-masing menerusi akuan berkanun.

Pada Mac lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua menteri Kabinet untuk mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM selaras dengan komitmen kerajaan dalam memerangi gejala rasuah.

Ia juga selari dengan pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran sebagaimana termaktub dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari tahun lepas.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!