Pemilihan Yang di-Pertuan Agong bukti permuafakatan Raja-Raja Melayu

Raja-Raja Melayu bergambar bersama selepas selesai Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (empat, kiri) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Raja-Raja Melayu bergambar bersama selepas selesai Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (empat, kiri) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Raja-Raja memilih Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu dalam tempoh kurang 20 hari menunjukkan permuafakatan antara Raja-Raja Melayu.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata keputusan pantas dicapai Majlis Raja-Raja itu juga menunjukkan kematangan dan kesediaan Raja-Raja Melayu dalam menghadapi sebarang masalah.

“Ini pertama kali peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Pada saya, ini merupakan satu cabaran kepada institusi diraja itu sendiri, yang mana kita dapat lihat sejauh mana kesediaan Majlis Raja-Raja menghadapi situasi seperti ini.

“Kita lihat, tidak sampai 20 hari, iaitu dari 6 Jan hingga hari ini (24 Januari), kata putus telah dapat dicapai. Sehari selepas warkah peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu diterima, Majlis Raja-Raja terus mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pemilihan Yang di-Pertuan Agong, begitu cepat sekali tindakan yang diambil,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, di sini malam ini.

Shamrahayu berkata malah, Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hari ini juga berlangsung dalam waktu yang singkat.

“Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berlangsung hanya sejam lebih dan ini menujukkan tidak ada perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan raja-raja.

“Sifat muafakat Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan mengenai perkara yang besar sebegini perlu kita contohi. Walaupun kita nampak pelbagai pandangan dan spekulasi dilontarkan di media sosial, termasuk pelbagai teka-teki dan ada yang mengatakan tentang pelobian mana-mana sultan, semua itu dihadapi matang oleh Majlis Raja-Raja dan kita nampak kesediaan raja-raja dalam menghadapi polemik yang ada,” katanya.

Sultan Abdullah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019. Pemilihan Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini menyebut mesyuarat turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. - Bernama