X

Kindly register in order to view this article
!

KWIE, Kementerian Kewangan, TNB tanggung diskaun elektrik

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
A
A

KUALA LUMPUR - Sumber dana bagi menampung pemberian diskaun penggunaan elektrik yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) ialah daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, jumlah keseluruhan kos pemberian diskaun ialah sebanyak RM2.62 bilion.

KeTSA berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan daripada Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahu sumber dana bagi memberi subsidi dalam pemberian diskaun penggunaan elektrik yang diumumkan dalam Pakej PRIHATIN mengikut kategori penggunaan bulanan dan apakah kesan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) apabila penggunaan elektrik dalam segmen domestik, segmen komersial dan industri berubah sepanjang tempoh PKP dan PKPB pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penggunaan elektrik berkurangan bagi sektor perdagangan (komersial) dan sektor perindustrian.

“Secara purata, sektor perdagangan mencatatkan penurunan penggunaan elektrik sebanyak 31 peratus manakala sektor perindustrian mencatatkan penurunan sebanyak 47 peratus.

“Pengguna domestik pula menunjukkan peningkatan penggunaan elektrik secara purata 23 peratus berbanding sebelum PKP apabila pengguna berada di rumah untuk jangka masa yang lama dan menggunakan lebih banyak peralatan elektrik daripada kebiasaan,” katanya.

KeTSA berkata perubahan penggunaan elektrik dalam tempoh PKP berlaku apabila majoriti sektor industri dan komersial ditutup, menyebabkan jualan elektrik oleh TNB menurun kepada RM3.4 bilion secara purata bagi bulan April hingga Jun berbanding RM3.8 bilion sebelum tempoh PKP. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!