Tak perlu panik

Notis penutupan bank yang tular hari ini hingga mencetuskan kebimbangan kalangan penduduk.
Notis penutupan bank yang tular hari ini hingga mencetuskan kebimbangan kalangan penduduk.
A
A
A

BAGAN SERAI - Penduduk Bagan Serai dan sekitarnya tidak perlu panik dengan penutupan operasi sebuah bank di bandar itu yang berpunca daripada kontak rapat seorang kakitangan dengan pesakit positif koronavirus (Covid-19).

Pengarah Strategik Parlimen Bagan Serai, Noor Azman Ghazali berkata, semakan dibuat dengan Pejabat Kesihatan Daerah mengesahkan kawasan itu selamat dari sebarang penularan wabak dan bank berkenaan boleh beroperasi seperti biasa.

"Kita nasihatkan semua penduduk kekal tenang dan tidak panik dengan perkara ini.

"Saya mewakili Ahli Parlimen Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah meninjau bank berkenaan dan dimaklumkan premis itu boleh beroperasi seperti biasa," katanya.

Menurutnya, penutupan bank berkenaan hanya sebagai langkah awal bagi membolehkan proses pembersihan dan pencegahan dilakukan.

"Kita dimaklumkan kakitangan itu telah diminta membuat saringan dan menjalani perintah kuarantin serta-merta," katanya.

Notis penutupan bank berkenaan tular di media sosial, hari ini memaklumkan operasi ditutup bermula 6 Ogos dan hanya dibuka semula pada 20 Ogos ini manakala bagi urusan mesin juruwang automatik (ATM) beroperasi semula pada Ahad ini.

Dalam notis berkenaan dinyatakan bahawa seorang kakitangan bank itu telah terdedah kepada orang luar yang disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan: