X

Kindly register in order to view this article
!

Kertas siasatan Al Jazeera, Md Rayhan dihantar ke AGC

Gambar kecil:Md Rayhan Kabir
A
A

KUALA LUMPUR – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berkaitan dokumentari yang disiarkan agensi berita Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ ke Jabatan Peguam Negara (AGC), petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kertas siasatan berkaitan warga Bangladesh Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemu bual dalam dokumentari itu turut diserahkan untuk tindakan sama.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan kita tunggu keputusan AGC untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu yang didakwa berniat memburuk-burukkan negara dengan mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

Susulan itu, polis telah merakam keterangan enam kakitangan Al Jazeera dan Md Rayhan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selasa lepas, polis turut menggeledah tiga lokasi di ibu negara melibatkan stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan UnifiTV.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan tempoh reman Md Rayhan disambung 13 hari bermula esok.

Beliau berkata, Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin (PATI) Semenyih, Selangor telah membenarkan permohonan reman itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang awam menjejakinya setelah muncul dalam dokumentari Al Jazeera dengan mendakwa pihak berkuasa Malaysia memberi layanan buruk kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, Khairul Dzaimee pada sidang medianya memaklumkan Md Rayhan akan diusir ke negara asal selepas semua siasatan polis selesai selain pas lawatan kerjanya ditamat dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini selama-lamanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!