Jadikan Hagia Sophia satu impian

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS 86 tahun berstatus muzium, Hagia Sophia kembali menjadi masjid. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan melakar kejutan tahun 2020 dengan membatalkan perintah Mustafa Kemal Ataturk yang menukar status Hagia Sophia daripada masjid menjadi muzium.

Penulis sentiasa mengagumi seni pembinaan Hagia Sophia yang dianggap antara yang terbaik di dunia. Hagia Sophia bermaksud ‘kebijaksanaan suci’ ialah gereja kebanggaan Empayar Rom mempunyai teknologi mozek yang sukar untuk ditandingi sehingga sekarang.

Selepas menakluknya, Sultan Muhammad al-Fatih telah merombak reka bentuk dalaman gereja itu. Antaranya, beliau mengubah struktur menara kayu menjadi sebuah mihrab yang diposisikan kedudukannya ke arah Makkah manakala bar mini dirombak menjadi mimbar. Beliau turut menubuhkan madrasah pengajian al-Quran.

Sultan Muhammad al-Fatih membuat banyak perubahan bagi memastikan Hagia Sophia menjadi sebuah masjid yang indah. Sebelum Empayar Uthmaniyah menjatuhkan Konstantinopel, Hagia Sophia ialah gereja dengan ruang dalaman terbesar di dunia. Ia gereja pertama menggunakan teknik reka bentuk kubah pendentive sepenuhnya. Penulis pernah menjadikan seni reka bentuk Hagia Sophia dicampur kombinasi seni bina Moghul Utara India ketika melakar cadangan pembinaan kubah Masjid Jamek Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Pendentive ialah teknik pembinaan penempatan kubah bulat di atas ruang persegi atau kubah elips di atas ruang segi empat. Struktur pembinaan pendentive mampu menampung maksimum berat kubah kerana daya tindakan gravitinya bertindak secara memusat ke arah empat penjuru untuk menampung dermaga di bawahnya.

Penulis merasakan keputusan Erdogan sesuai dengan inti pati Surah al-Fatihah ayat 1-7 bermaksud: “Dengan menyebut nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi ALLAH, Tuhan Semesta Alam, Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Yang Menguasai Hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukannya (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

Teknologi

Erdogan turut menekankan kepentingan Surah al-Baqarah ayat 1-5 bermaksud: “Alif Laam Miim. Kitab (al-Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Artikel Berkaitan:

Berbekalkan teknologi seni bina dan kejuruteraan mekanik yang diaplikasikan daripada ilmu matematik pada abad ke-6, Hagia Sophia seharusnya menjadi pusat pengembangan ilmu dan Islam. Ia juga menjadi destinasi pelancongan paling popular di Turki dan dikunjungi lebih 3.7 juta pelawat setahun.

Penulis mengharapkan jurutera Malaysia menjadikan seni bina Hagia Sophia sebagai rujukan utama untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengembangan dan pengaplikasian ilmu kejuruteraan terkini dan terunggul di Asia untuk terus berdaya maju.

Penulis turut mengimpikan keberanian Erdogan meresap ke dalam jiwa pemimpin Islam. Keberanian Erdogan menukarkan status Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid pasti mengundang api kemarahan dalam kalangan negara Barat khususnya Greece.

Kesimpulannya, jurutera Malaysia harus berani dan berjiwa besar dalam menghasilkan karya seni bina indah seperti Hagia Sophia. Ketika ini ada banyak masjid di Malaysia yang diiktiraf cantik. Namun, jurutera Malaysia harus bertaraf dunia untuk menghasilkan senibina seperti Hagia Sophia.

** Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor