MN Selangor siap sedia hadapi PRU15

 Dr Ahmad Yunus Hairi
Dr Ahmad Yunus Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) Selangor berjaya mencapai kesepakatan dari sudut gerak kerja dalam mengukuhkan organisasi gabungan itu di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, susulan itu, MN Selangor akan membuat perancangan bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) menerusi Program Turun Parlimen dalam masa terdekat.

Ahmad Yunus berkata, jawatankuasa gabungan itu di peringkat negeri dan Parlimen telah bersama-sama bergerak dalam melaksanakan program-program kemasyarakatan sebelum ini.

"Pengukuhan kerjasama ini akan diperhebatkan lagi dengan Program Turun Parlimen oleh MN negeri bagi memantapkan lagi organisasi agar lebih bersedia dalam memasyarakatkan gabungan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, MN Selangor mengadakan mesyuarat melibatkan komponen gabungan itu bagi membincangkan mengenai pengukuhan serta gerak kerja mereka selepas ini.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang turut berkata, MN perlu diperkukuhkan buat masa ini walaupun terdapat pihak yang cuba mengganggu-gugat kesepakatan gabungan berkenaan.

"Sudah tentu ada yang mencemburui dan cuba mengganggu tahaluf berpiagam menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pimpinan tertinggi parti.

"Soal siapa pencetus MN telah berlalu dan ini adalah ketentuan ALLAH SWT di atas pengharapan kedua-dua parti Melayu Islam yang lama dalam perjuangan politik," katanya.

Artikel Berkaitan: