Bersatu Johor diingatkan usah bermimpi: Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO tidak akan menyerahkan kerusi tradisi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tegas Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut beliau, Bersatu dijangka terkubur lebih-lebih lagi apabila berlaku krisis terbaharu melibatkan pembubaran jawatankuasa bahagian dan cawangan Bersatu Sembrong dan Batu Pahat.

Justeru, beliau menggesa pemimpin Bersatu terutamanya dalam kalangan wakil rakyat yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kemudian melompat ke parti itu supaya tidak bermimpi untuk bertanding di kerusi UMNO.

"Pemilihan Bersatu sebenarnya akan berlangsung pada September tetapi sekarang masih tak selesai-selesai lagi pemilihan di peringkat bahagian. Nampak sangat Bersatu peringkat bahagian sangat lesu.

"Kepimpinan Bersatu Johor pun tak boleh kawal, apatah lagi untuk mengawal keadaan di bahagian. Lepas itu ada hati nak kerusi banyak dan suruh orang UMNO sokong mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mengingatkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar memastikan persidangan dan pemilihan parti Bersatu dijalankan mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi mengelakkan parti itu diharamkan.

“Ini juga supaya Bersatu tidak melalui pengalaman getir UMNO pada tahun 2018 yang pernah diancam untuk diharamkan walaupun patuh kepada peraturan dan prosedur ROS,” katanya.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu semalam memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa bahagian dan cawangan iaitu Sembrong dan Batu Pahat dengan tidak wujud sebarang jawatan termasuk Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan.

Artikel Berkaitan:

Ekoran keputusan berkenaan, Presiden Bersatu akan melantik seorang Ketua Bahagian Penaja yang baharu bagi kedua-dua bahagian Bersatu ini setelah Persidangan Agung Tahunan (PAT) selesai pada hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau bersetuju dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muafakat Nasional (MN) adalah kerjasama politik yang kuat dan harus diteruskan untuk memastikan kestabilan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

"MN dibina melalui persefahaman yang kuat antara dua pihak yang mempunyai kekuatan dan rekod prestasi tersendiri di jentera atau akar umbi mereka.

"Jika dibandingkan dengan Bersatu yang hanya parti baharu ditubuhkan untuk mencapai tujuan tertentu," katanya.

"Oleh demikian, adalah lebih baik kerjasama MN terus diperkukuhkan khususnya menjelang PRU15 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.