Larangan merokok di Sarawak berkuat kuasa 1 Mac depan

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING – Kabinet Sarawak hari ini bersetuju untuk melaksanakan larangan merokok di semua premis makanan di negeri itu berkuat kuasa 1 Mac depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Kian berkata, Kabinet itu juga telah bersetuju untuk enam bulan pertama bermula 1 Mac ini akan menjadi tempoh untuk mendidik orang ramai mengenai larangan itu dan tiada kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut.

“Keputusan larangan merokok di semua premis makanan adalah untuk kepentingan kesihatan dan masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengusaha berlesen boleh menyediakan tempat khas merokok di kawasan yang tidak kurang tiga meter daripada meja makan terdekat di mana makanan dihidangkan.

Selain itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemegang lesen premis makanan memastikan tempat khas merokok sentiasa dalam keadaan bersih,

Kerajaan Persekutuan telah menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di Semenanjung Malaysia bermula 1 Januari lalu manakala Sabah akan melaksanakan peraturan itu mulai 1 Februari ini.

Larangan itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun bagi mereka yang didapati melanggar Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

Peraturan 12 pula memperuntukkan semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun. - Bernama