X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada pilihan raya di Pulau Pinang jika Parlimen dibubar terdekat ini

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengambil pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pendirian itu diambil setelah pimpinan PH di peringkat kebangsaan sebulat suara tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal baru-baru ini.

“Negeri-negeri di bawah PH tidak mengikut jejak langkah untuk membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan kelak.

“Hal ini kerana, kedudukan negeri-negeri PH yang ada kini adalah stabil dan terlalu awal untuk mengadakan PRU melainkan ada isu ‘teristimewa’ seperti yang berlaku di Sabah.

“Walau bagaimanapun, kita (PH) akan terus memantau rapi apa-apa perubahan yang berlaku dan bersedia terhadap sebarang kemungkinan kerana ‘politics is the art of the possible’ (politik adalah seni kemungkinan),” katanya hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang berlegar dalam media arus perdana kebelakangan ini berhubung kemungkinan Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan terhadap PRU yang bakal diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP tidak menolak kemungkinan boleh berlaku pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat ini memandangkan situasi semasa politik negara yang tidak menentu.

“Walaupun tiada sebarang pengesahan (berhubung pembubaran Parlimen), ia tetap dilaporkan dalam media-media arus.

“(Dan) sebagai sebuah parti politik, kita pastinya tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku kelak khususnya dengan majoriti yang tipis di Parlimen.

“Lebih-lebih lagi dengan pergolakan dalam parti-parti Perikatan Nasional berhubung pengagihan kerusi... bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau percaya bahawa Perdana Menteri turut akan mempertimbangkan semua perkara sebelum mengambil keputusan membubarkan Parlimen.

Berdasarkan perkembangan semasa yang mana dunia sedang dilanda krisis kesihatan paling kritikal iaitu pandamik koronavirus (Covid-19), Kon Yeow percaya bahawa pembubaran Parlimen akan mencetuskan ketidakstabilan ekonomi negara.

“Tambahan pula, dengan insentif-insentif yang hampir tamat tempoh pasti membawa impak negatif terhadap para peniaga dan sektor pekerjaan (risiko kehilangan pekerjaan),” katanya juga Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan sebagai solusi ketidaktentuan sentimen politik tempatan.

“Di Sabah, mereka mengharapkan parti-parti politik tempatan memainkan peranan dalam menentukan nasib rakyat di sana.

“(Dan) bagi DAP yang akan bertanding sama, kita akan memberi apa-apa jua bantuan yang diperlukan selagi mampu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!