Pemuda UMNO bertegas mahu kerajaan tubuh RCI siasat TH

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO bertegas mendesak agar kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusniaga Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu, yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat.

Dakwanya, ia termasuklah isu 'jualan lambak' ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran.

"Ini tidak termasuk aset-aset hartanah TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

"Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH.

"Harus diingat TH adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

Menurutnya, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus setelah ditolak zakat 2.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

"Justeru, Pemuda UMNO menuntut agar kerajaan Perikatan Nasional dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini.

"Hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewengan dan penyimpangan terhadap urusniga TH yang tiada berkesudahan sekali gus mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam ini," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, kerajaan hanya akan menimbangkan penubuhan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga Lembaga Tabung jika ada keperluan untuk itu.

Zulkifli berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional bercadang menubuhkan RCI bagi menyiasat urusniaga TH.