X

Kindly register in order to view this article
!

Ops Gempur JAS: 16 kompaun bernilai RM32,000 dikeluarkan

Pemeriksaan rapi dilakukan penguatkuasa JAS ketika operasi di kilang pembuatan
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan sebanyak 16 kompaun membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM32,000 terhadap industri pembuatan sekitar Alor Setar dan Pendang atas pelbagai kesalahan yang dikesan.

Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, jabatan itu turut mengeluarkan 22 Notis Arahan melalui 12 pemeriksaan dalam Ops Gempur bulan lalu.

Menurutnya, industri terbabit ialah berasaskan getah, percetakan, elektrik dan elektronik, pengilangan logam, kilang berasaskan kayu serta kilang makanan dan minuman.

"Antara kesalahan dilakukan ialah pengurusan buangan terjadual seperti penstoran buangan terjadual melebihi had dibenarkan iaitu selama 180 hari atau kurang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Norazizi berkata, kesalahan lain termasuk gagal melabel buangan terjadual yang dihasilkan dan penstoran buangan terjadual bercampur dengan sisa domestik.

"Terdapat juga kilang yang gagal menghantar notifikasi mengenai sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP), tidak mempunyai SPEP, serta tidak menyenggara SPEP," katanya.

Operasi pemeriksaan melibatkan 33 anggota penguatkuasa JAS Kedah dari Pejabat JAS Alor Setar dan cawangan di premis sekitar Alor Setar dan Pendang.
Operasi pemeriksaan melibatkan 33 anggota penguatkuasa JAS Kedah dari Pejabat JAS Alor Setar dan cawangan di premis sekitar Alor Setar dan Pendang.

Menurutnya, sebahagian kilang tidak memiliki rekod pemantauan prestasi selain tiada individu berwibawa untuk mengawasi operasi SPEP.

"Terdapat premis yang gagal memasang alat kelengkapan kawalan pencemaran udara serta gagal menjalankan pemantauan prestasi pelepasan bahan pencemar udara.

Kesemua premis yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan kompaun dan Notis Arahan serta-merta bagi tindakan pematuhan," katanya.

Norazizi berkata, kesemua kesalahan itu melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pensampelan rasmi buangan terjadual serta efluen perindustrian dijalankan oleh pegawai penyiasat dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia cawangan Kedah untuk penganalisaan dan semakan pematuhan premis," katanya.

Menurutnya, operasi akan diadakan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat yang melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemain industri diminta meningkatkan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan bawahnya serta memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terjaga," katanya.

Tambahnya, orang ramai juga disaran membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemar alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email [email protected] atau melalui portal e-aduan JAS, https://eaduan.doe.gov.my.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!