Tindakan lompat parti tidak terkawal

Hassan menyerahkan tudung Jalur Gemilang kepada Fairuz Hadan di Bank Muamalat Cawangan Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.
Hassan menyerahkan tudung Jalur Gemilang kepada Fairuz Hadan di Bank Muamalat Cawangan Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Undang-undang khusus mengenai Anti Lompat Parti perlu segera digubal kerana tindakan itu dalam perkembangan politik tanah air ketika ini sudah melampau dan tidak dapat dikawal.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, wakil rakyat yang bertindak demikian juga dilihat sudah tiada integriti apabila boleh dijual beli dengan mudah walaupun lompat parti bukan satu kesalahan undang-undang.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berpendapat, penggubalan undang-undang itu dapat menghentikan tindakan wakil rakyat yang dilantik melalui proses pilihan raya sah daripada melompat parti tanpa alasan munasabah.

"Perbuatan ini membuatkan rakyat marah. Mereka beratur berjam-jam semasa proses membuang undi untuk memilih calon wakil rakyat tetapi tiba-tiba calon yang menang dan ada kedudukan melompat parti.

"Kita boleh lihat kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri sebelum ini tumbang kesan daripada tindakan ini. Perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi, kalau perlembagaan perlu dipinda, pindalah untuk masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Sumbangan Tudung Jalur Gemilang Semperna Kemerdekaan kepada Penolong Pengurus Bank Muamalat Cawangan Mount Austin, Fairuz Hadan di bank itu di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M dakwa rasuah punca DUN Sabah dibubar

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan beberapa wakil rakyat 'lompat parti' untuk menyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah tidak wajar.

Sebelum ini, DAP Sabah mendakwa tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ditawarkan wang dan jawatan supaya berpaling tadah berikutan desas-desus kerajaan negeri akan jatuh ke tangan pembangkang.

Dua daripadanya ialah ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang dan ADUN Elopura, Calvin Chong membuat laporan polis berhubung kehadiran ejen politik di kediaman mereka untuk memberi tawaran melompat parti.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, keazaman politik perlu ada untuk menggubal akta tersebut walaupun dilihat mustahil kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini hasil daripada lompat parti.

Katanya, akta itu akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk diluluskan dan satu lagi cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah memperkenalkan sistem Pilihan Raya Semula atau Recall Election seperti diamalkan di luar negara.

"Recall Election akan membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan apabila wakil-wakil rakyat yang dipilih pengundi melompat parti. Ini sudah dipraktikkan di negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi," katanya.