Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan negatif Covid-19

Seramai 2,430 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang disaring negatif Covid-19.
Seramai 2,430 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang disaring negatif Covid-19.
A
A
A

LABUAN - Kesemua 2,430 pelajar yang tiba di sini dari pelbagai lokasi di negara ini untuk mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Labuan diuji negatif Covid-19, kata Pengarah kolej itu, Mohd Idris Omar.

Pelajar berkenaan yang merangkumi sebahagian besar daripada 2,860 pelajar baharu dan senior mula tiba dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sejak 2 Ogos lepas, katanya di sini hari ini.

Kolej itu telah menangguhkan permulaan semester pada Jun ke bulan Ogos berikutan pandemik Covid-19.

"Baki pelajar dijangka tiba secara berkumpulan sehingga 17 Ogos," katanya.

Mohd Idris berkata, pelajar yang tiba menaiki kapal terbang dan feri telah menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) Covid-19 di Lapangan Terbang Labuan serta Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri Ro-Ro Labuan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 93 pelajar baharu dan beberapa pelajar senior dijadual tiba dari Kuching pada 15 hingga 17 Ogos, sejurus selepas tamatnya perintah larangan pergerakan antara zon di Sarawak pada 14 Ogos.

“Ujian Covid-19 percuma diwajibkan bagi memastikan pelajar yang datang dari pelbagai daerah dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak dan sebilangan kecil dari Semenanjung, bebas daripada Covid-19 sebelum memulakan pengajian mereka di kolej.

“Semester ini sepatutnya bermula pada Jun tetapi oleh kerana pelaksanaan larangan pergerakan, ia telah dijadual semula ke Ogos,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Persekutuan membenarkan kerajaan Sarawak untuk mengenakan larangan pergerakan antara zon dari 1 hingga 14 Ogos bagi membendung penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes positif baru-baru ini.

Pelajar yang tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan berkata, mereka telah menjangka menjalani ujian Covid-19 dan mengalu-alukan langkah itu kerana mereka merasakan lebih selamat. - Bernama