X

Kindly register in order to view this article
!

13 premis makanan ditutup gagal patuh SOP

Rozali Mohamud
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 13 premis makanan di Seberang Perai diarahkan ditutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak dapat mengawal jumlah pelanggan yang ramai sehingga tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat premis yang gagal menyediakan laluan keluar dan masuk serta tiada pengambilan bacaan suhu dan maklumat pelanggan.

"Saya ingin memberi peringatan kepada semua pengusaha premis makanan supaya tidak mengabaikan semua SOP ketika beroperasi.

"Tiga kes jangkitan baharu yang dilaporkan di Kedah berpunca daripada premis makanan dan kita tidak mahu disebabkan kelalaian pihak tertentu menyebabkan status zon hijau di Pulau Pinang akan terjejas," katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di Restoran Nasi Kandar Pelita di Autocity di sini pagi tadi.

Dalam pada itu Rozali memberitahu, kawasan pasar awam serta pasar malam di Seberang Perai menjadi tempat perniagaan yang paling rendah dalam pematuhan SOP.

Katanya, selepas amaran diberikan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tutup pasar berkenaan jika tiada sebarang perubahan dalam masa terdekat.

"Secara keseluruhan MBSP telah membuat pemeriksaan membabitkan 429,516 pusat perniagaan, pusat hiburan, pasar awam dan pasar malam, kilang serta tapak pembinaan sejak 18 Mac hingga semalam.

"Daripada pemantauan kita dapati tahap pematuhan SOP sebanyak 99.36 peratus dan kita harap kita dapat mencapai pematuhan sepenuhnya agar usaha kita dalam mengekang penularan Covid-19 akan berjaya,"katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Rozali berkata, beliau telah mengarahkan seramai 35 kakitangan MBSP yang sebelum ini pulang ke kampung berhampiran kawasan disahkan positif Covid-19 kluster Sivagangga di Napoh pada perayaan Aidiladha lalu untuk bekerja dari rumah.

"Hanya seorang sahaja kakitangan dikatakan singgah di restoran nasi kandar di Napoh sebelum ini dan beliau telah diarahkan menjalani pemeriksaan pengesanan jangkitan Covid-19 di hospital esok," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!