X

Kindly register in order to view this article
!

Deepak gagal masuk nama Najib, tujuh lagi dalam saman PI Bala

Najib Tun Razak dan Deepak Jaikishan
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, J R Deepak Jaikishan bagi memasukkan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tujuh yang lain sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan keluarga penyiasat persendirian (PI), mendiang P Balasubramaniam.

Peguam David Mathews yang mewakili Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan tersebut dalam kamar.

Selain Najib dan Rosmah, individu lain adalah adik-beradik Najib, Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Mathews berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan Deepak gagal menimbulkan kes prima facie dan permohonan beliau kekurangan butiran.

“Hakim juga memutuskan Deepak telah membuat pernyataan yang tidak konsisten dalam afidavit sebelumnya yang bercanggah dengan ketegasan dalam permohonan ini.

“Mahkamah juga memberikan jumlah kos RM15,000 kepada Najib dan isteri, RM15,000 lagi kepada Cecil dan Sunil dan masing-masing RM10,000 kepada Ahmad Johari, Mohd Nazim, Arulampalam dan Zainal,” katanya.

Deepak diwakili peguam Datuk RK Nathan dan K Vinod.

Kesemua lapan individu yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu kecuali Deepak telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan tiga anaknya, Kishen, Menaga dan Reeshi.

Pada 30 Januari 2018, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan lapan defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan.

Bagaimanapun, defendan berjaya dalam rayuan mereka selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Deepak kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memasukkan lapan individu tersebut dalam saman itu.

Pada 23 Julai 2017, Santamil Selvi bersama tiga anaknya selaku plaintif memfailkan saman kedua bagi pihak mendiang dengan menamakan lapan individu termasuk Deepak sebagai defendan.

PI Bala merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006. PI Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu setelah pulang dari India.

Dalam penyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anaknya mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan Altantuya.

Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India; yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!