Kes kemalangan maut di tempat kerja menurun

M Saravanan ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di tapak projek Merdeka 118 hari ini. - Foto Bernama
M Saravanan ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di tapak projek Merdeka 118 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi Keselamatan dan Kesihatan (KKP) negara menunjukkan kadar kemalangan maut di tempat kerja mencatat penurunan sebanyak lapan peratus tahun lepas.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, statistik itu bersamaan 3.83 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding 4.14 bagi setiap 100,000 pekerja yang direkodkan pada 2018.

“Bagi sektor pembinaan secara khususnya kadar kemalangan maut melibatkan pekerja menurun 16 peratus (11.28 bagi setiap 100,000 pekerja) berbanding 13.44 per 100,000 pekerja pada 2018.

“Penurunan kadar kemalangan maut ini jelas menunjukkan majikan dan pekerja mulai sedar akan kepentingan, serta memastikan tempat kerja mereka selamat dan sihat,” katanya ketika berucap pada lawatan kerja di tapak projek Menara Merdeka 118, Stadium Merdeka di sini hari ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyenaraikan kemalangan maut tersebut melibatkan sektor seperti pengilangan, perlombongan, pertanian, perhutanan, perikanan, kemudahan (gas, air, elektrik dan kebersihan), pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan pembinaan.

Saravanan bagaimanapun berkata, bagi kadar kemalangan di tempat kerja meningkat sebanyak 13 peratus (2.71 bagi setiap 1,000 pekerja) tahun lepas, berbanding 2.40 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2018.

Susulan itu, beliau berkata, peraturan khusus untuk menjadikan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 atau OSHCIM yang dibangunkan oleh JKKP sebagai mandatori sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

“OSHCIM sebagai mekanisme pihak kerajaan dalam memastikan setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Garis panduan tersebut memberikan panduan praktikal untuk klien, pereka bentuk dan kontraktor tentang aspek pengurusan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semasa merancang dan menjalankan projek pembinaan," katanya.

Jelasnya, sebanyak 10 projek perintis diiktiraf sebagai Projek Perintis OSHCIM iaitu melibatkan tiga projek kerajaan di bawah kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tujuh lagi merupakan projek swasta.

Sementara itu, Saravan berkata, dari sudut penguatkuasaan, JKKP telah menjalankan 301,635 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera pada tahun lepas.

Katanya, sebanyak 26,980 notis dikeluarkan iaitu 1,481 kesalahan dikenakan kompaun, manakala 421 kes didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, penalti keseluruhan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak RM8.05 juta.

Mengenai lawatan ke tapak projek Menara Merdeka 118 hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kemajuan pembinaan menara tersebut yang dibangunkan PNB Merdeka Ventures kini 52.2 peratus siap, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2022.- Bernama