X

Kindly register in order to view this article
!

'Teruskan proses kes Adib, tidak perlu inkues kedua'

Hassan (kiri) menyerahkan tudung Jalur Gemilang kepada Fairuz Hadan di Bank Muamalat Cawangan Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Inkues baharu dan pindaan pertuduhan terhadap suspek kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak wajar dilakukan sebaliknya meneruskan proses sebelum ini bagi memberi keadilan kepada mangsa serta keluarganya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pihak polis dan Jabatan Peguam Negara perlu segera membuat pertuduhan kes itu di mahkamah berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner.

"Saya bersetuju dengan sentimen keluarga Adib terutama ibu bapanya bahawa anak mereka seorang kakitangan awam meninggal dunia ketika menjalankan tugas dan perlu pembelaan.

"Maknanya kalau dia meninggal dunia akibat dibunuh dan ada elemen (dibunuh) maka tuduhlah (bawah seksyen) membunuh, jangan ubah seksyen atas kesalahan yang ada atau dipinda kesalahan membunuh dengan seksyen lebih ringan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Sumbangan Tudung Jalur Gemilang Semperna Kemerdekaan kepada Penolong Pengurus Bank Muamalat Cawangan Mount Austin, Fairuz Hadan di bank itu di sini hari ini.

Hassan yang juga seorang peguam berpendapat kes tersebut perlu diteruskan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk melaksana inkues kedua termasuk meminda pertuduhan membunuh kepada merusuh kerana proses inkues pertama sudah dijalankan tanpa sebarang masalah.

Semalam, keluarga Allahyarham tidak berpuas hati dengan cadangan kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan dengan pertuduhan lebih ringan ke atas suspek yang didakwa mengakibatkan kematian anggota bomba tersebut.

Bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, mereka sekeluarga mengetahui cadangan untuk mendakwa semula 12 suspek menyebabkan kematian anak lelakinya itu seperti dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.

Bagaimanapun Mohd Kassim tertanya-tanya mengapa cadangan pertuduhan semula ke atas suspek bukan disebabkan membunuh anggota bomba itu.

Isnin lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kertas siasatan kes Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan disusuli beberapa cadangan.

Antara cadangan dikemukakan ialah 12 suspek didakwa semula mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!