Harap pembekuan akaun UMNO Johor dihentikan

Samsolbari (tiga kanan) menyampaikan Anugerah Inovasi 2020 kepada penerima dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2020 di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.
Samsolbari (tiga kanan) menyampaikan Anugerah Inovasi 2020 kepada penerima dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2020 di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor berharap pembekuan akaun parti itu yang berjumlah RM600,000 dihentikan bagi membolehkan mereka menggunakan dana berkenaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bendahari UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan sejak hampir tiga tahun lalu untuk mendapatkan semula dana tersebut.

"Ketika ini UMNO Johor tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk menggerakkan program parti di peringkat akar umbi. Kita sudah berusaha untuk mendapatkannya dan kini hanya berserah kepada ALLAH.

"Kalau ada, adalah, kalau tidak ada kita teruskan dengan apa yang ada. Kita tidak boleh bersandarkan kepada itu (dana RM600,000) sahaja. Kita belanja apa yang ada dan buat (program) yang mampu sahaja," katanya.

Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2020 di Hotel Grand Paragon di sini hari ini.

Samsolbari mengulas akaun parti tersebut yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 selepas tindakan yang sama dikenakan terhadap akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor.

Selain itu, akaun UMNO Bahagian Johor Bahru melibatkan dana RM1 juta dibekukan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata Samsolbari, UMNO Johor perlu belajar daripada parti lain yang boleh terus 'hidup' walaupun tanpa kewangan kukuh dan pihaknya percaya perkara itu dapat dilakukan kerana mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ahli UMNO di negeri ini masih bersama walaupun dalam keadaan sukar ketika ini kerana mereka percaya dan faham hala tuju serta perjuangannya parti itu.

Tumpuan utama ketika ini katanya, untuk memperkukuh parti dan bersiap sedia menghadapi PRU15 selain terus menjalin kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, semua perancangan berjalan lancar termasuk mesyuarat 2,370 cawangan UMNO di negeri ini yang sedang aktif dilakukan selepas terhenti sebelum ini akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Mengenai pengagihan kerusi antara UMNO dan Pas di peringkat negeri, beliau berkata, perkara tersebut masih belum dibincangkan sebaliknya fokus ketika ini merancakkan program kedua-dua parti itu di peringkat bawahan.