X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital Slim River tubuh Rumah Ngaji

Ahmad Faizal menyempurnakan perasmian Rumah Ngaji di HSR sambil disaksikan Datin Normah Hanum dan Hussamuddin di Dewan Seri Muallim HSR, Slim River hari ini.
A
A

SLIM RIVER - Hospital Slim River (HSR) mencipta sejarah tersendiri apabila mewujudkan Rumah Ngaji di hospital berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penubuhan Rumah Ngaji HSR dilihat bertepatan dan selari dengan hasrat membantu warga kerja HSR untuk mendalami serta memahami isi kandungan al-Quran dengan lebih baik.

Menurutnya, lebih mengujakan lagi, penubuhan Rumah Ngaji tersebut mendapat sokongan kuat daripada Pengarah HSR, Dr S Sivanandarajah Satgunam.

"Walaupun berlainan agama, sikap keterbukaan dan toleransi beliau terhadap inisiatif yang murni ini amat kita hargai.

"Bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri dan 82 Rumah Ngaji Negeri Perak, kita ucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Siva. Thank you Dr Siva for your kindness," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Rumah Ngaji HSR di Dewan Seri Muallim HSR, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin; Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim; Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Dr Ir Safry Kamal Ahmad; Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dan Dr Sivanandarajah

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memberikan penghargaan kepada warga HSR yang menjadi barisan hadapan mengawal penularan koronavirus (Covid-19) kerana HSR merupakan salah satu daripada lima hospital di Perak menjadi pusat saringan Covid-19.

Jelasnya, peperangan berlarutan melawan pandemik Covid-19 ini sememangnya meletihkan terutama buat pasukan perubatan kerana ia bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal tetapi juga kekuatan spiritual.

"Oleh itu, penubuhan Rumah Ngaji HSR ini amatlah bertepatan dalam usaha pemantapan kekuatan rohani para petugas kesihatan yang beragama Islam di sini.

"Ini selari dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Isra', ayat 82 yang bermaksud: Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman," katanya.

Ahmad Faizal berkata, jika ajaran al-Quran diamalkan dengan cara sebenar, ia pasti akan membentuk modal insan yang cemerlang dalam menjalankan tugas dan memiliki kualiti akhlak yang terpuji.

Beliau turut mendoakan agar program Rumah Ngaji HSR akan terus subur sebagai salah satu daripada program Hospital Mesra Ibadah.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mengumumkan penganjuran Musabaqah al-Quran dalam kalangan Rumah Ngaji di Perak dengan hadiah untuk johan pertandingan bernilai RM5,000.

Beliau berkata, pertandingan tersebut akan dilaksanakan sempena sambutan Maal Hijrah.

Tamat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!