Perak cari penyelesaian terbaik isu nelayan darat

Laporan Sinar Harian baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian baru-baru ini.
A
A
A

SLIM RIVER - Kerajaan Perak akan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu nelayan darat dan pewartaan kawasan perairan untuk tangkapan ikan di kawasan bekas-bekas lombong di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kajian mendalam diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat memandangkan kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan terhadap kawasan tersebut.

Menurutnya, masalah penerokaan haram yang berlaku bukan sahaja menjejaskan nelayan darat tetapi memberi kesan kepada pendapatan negeri.

"Kita ada mendapat cadangan untuk mewujudkan ladang solar di atas permukaan air lombong dan itu akan mendatangkan lebih banyak hasil dan kita akan membuat perkiraan semula tetapi dalam masa yang sama bukan sahaja masalah nelayan darat, masalah di seluruh negeri Perak kerana terlalu banyak peneroka dan pengusaha haram di tapak-tapak tanah kerajaan dan tapak-tapak persendirian.

"Kerajaan tak mampu selesaikan serentak tetapi kita akan selesaikan satu persatu. Banyak perkara yang dapat kita selesaikan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Ngaji Hospital Slim River (HSR) di Dewan Seri Muallim HSR, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gengster diupah jaga bekas lombong

'Kami dah penat mengadu'

Warta kawasan lombong, hentikan monopoli

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan khas Sinar Harian berkaitan penerokaan kawasan bekas lombong yang menjelaskan nelayan darat di Perak.

Mengenai isu yang sama, Ahmad Faizal berkata, masalah berlaku di kawasan bekas lombong tersebut apabila terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan usaha pertanian atau penternakan dilakukan individu tertentu.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mampu memberi setiap individu kawasan bekas lombong untuk mereka majukan dengan projek-projek pertanian sebaliknya menganugerahkan kepada mereka yang berkemampuan.

"Masalah yang saya lihat di kawasan ini ialah apabila satu kawasan itu hendak dimajukan dengan projek-projek penternakan, pertanian dan sebagainya, kita tak mampu nak bagi kepada semua. Mungkin satu kawasan mempunyai dua tiga pemohon tetapi kita mampu bagi satu sahaja, jadi dua lagi akan kecil hati dan mengambil tindakan tak berapa elok.

"Secara umumnya kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik mengikut keadaan semasa di tempat tertentu," katanya lagi.

Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar (Peniat) sebelum ini mencadangkan agar kawasan bekas-bekas lombong diwartakan sebagai kawasan perairan nelayan darat bagi mengatasi masalah penerokaan haram selain memudahkan tindakan perundangan dilakukan kepada penceroboh.