X

Kindly register in order to view this article
!

Sah terpateri ikatan Luqman Hakim-KV Kortrijk

Dari kiri, Gregoire, Vincent, Luqman Hakim dan Johan Kamal pada majlis menandatangani kontrak di ibu kota tengah hari tadi.
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya sah memeterai perjanjian secara rasmi dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara tengah hari tadi, penyerang kelahiran Kota Bahru, Kelantan berusia 18 tahun itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun.

Majlis itu turut dihadiri pemilik KV Kortrijk yang juga hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan; Duta Belgium, H E Pascal Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.

"Kita semua harus berbangga apabila Luqman Hakim muncul sebagai anak Malaysia pertama beraksi dalam liga divisyen pertama di Eropah dan mewakili antara kelab utama di Belgium.

"Ingin saya nasihatkan kepada Luqman Hakim, bermainlah dengan bersungguh-sungguh apabila mendapat peluang. Paling penting dapat menjaringkan gol dan membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga," kata Vincent dalam ucapannya.

Pada Disember tahun lalu, Luqman Hakim yang juga bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) telah ditawarkan kontrak untuk beraksi bersama kelab divisyen utama Belgium itu.

Mengikut perancangan asal, Luqman Hakim akan menyertai KV Kortrijk pada Mac lalu apabila usianya mencecah 18 tahun. Sebelum itu, dia dijadualkan berlatih selama tiga bulan bersama kelab Cardiff City mulai Disember lalu.

Bagaimanapun, Luqman Hakim tidak dapat ke Cardiff dipercayai akibat masalah visa sebelum dia terpaksa menangguhkan hasrat menyertai KV Kortrijk lebih awal ekoran penularan pandemik Covid-19 Februari lalu.

Luqman Hakim kini mengikuti kem latihan pusat bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara yang kini dalam persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!