Bekas timbalan pengurus mengaku terima rasuah RM153,000

Bekas timbalan pengurus syarikat berkaitan GLC dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menerima rasuah.
Bekas timbalan pengurus syarikat berkaitan GLC dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menerima rasuah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas timbalan pengurus di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM766,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menerima rasuah.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Hisyam Mohd Abdullah Hashim, 46, mengaku bersalah ke atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM153,000 pada 2016 dan 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, Noor Hisyam yang memegang jawatan di Jabatan Landskap UEM Sunrise Berhad ketika itu menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan sebagai balasan memperakukan tuntutan kemajuan kerja syarikat berkenaan di Pejabat Jabatan Landskap UEM Sunrise Berhad di Iskandar Puteri antara 10 Februari 2016 hingga 15 Februari 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.

Manakala, tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri dan Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Artikel Berkaitan: