X

Kindly register in order to view this article
!

Sewa homestay mewah untuk pecah rumah

Dzulkhairi (kanan) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek kes pecah rumah pada sidang media di IPD Iskandar Puteri hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Enam penjenayah menggunakan modus operandi dengan menyewa hosmestay di kawasan kediaman mewah bagi mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebelum memecah masuk dan mengambil barang bernilai.

Mereka dikatakan aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak tiga bulan lalu di beberapa kawasan perumahan mewah di Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek turut menggunakan kereta mewah yang dicuri bagi mengaburi mata penduduk dan mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

"Balai Polis Bukit Indah menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan Horizon Hills kira-kira jam 1.07 tengah hari pada 3 Ogos lalu yang memaklumkan berlaku kejadian pecah rumah di situ.

Antara barang yang dicuri suspek pecah rumah di sekitar Iskandar Puteri sejak tiga bulan lalu.
Antara barang yang dicuri suspek pecah rumah di sekitar Iskandar Puteri sejak tiga bulan lalu.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati rumah terbabit telah dipecah masuk menyebabkan kerugian sebanyak RM180,000 melibatkan wang tunai, barang kemas, beg berjenama dan seunit kamera.

"Pemilik rumah terbabit berada di Singapura sejak Mei lepas. Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil pintu gelongsor di bahagian hadapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 41 tahun kini ditahan hasil serbuan yang dilakukan di Taman Pelangi, Setia Indah, Desa Cemerlang dan Ulu Tiram pada 4 Ogos lalu.

Peralatan yang digunakan suspek bagi memecah rumah di sekitar Iskandar Puteri.
Peralatan yang digunakan suspek bagi memecah rumah di sekitar Iskandar Puteri.

"Siasatan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan rekod kesalahan berkaitan dadah selain turut positif dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari hingga 8 Ogos dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya lagi, polis percaya kad akses pintu rumah homestay yang disewa suspek di kawasan kediaman mewah turut menjadi modus operandi suspek dalam melakukan kegiatan pecah rumah.

"Dua kes pecah rumah di kawasan Horizon Hills dan Eco Botani dapat diselesaikan dengan tertangkapnya keenam-enam suspek ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!