Polis cari ketua, ahli Geng Fuad

Gambar dari kiri atas: Mohd Fuad, Mohd Nurfino, gambar kiri bawah: Muhamad Fahmi, Nik Kamal
Gambar dari kiri atas: Mohd Fuad, Mohd Nurfino, gambar kiri bawah: Muhamad Fahmi, Nik Kamal
A
A
A

KOTA BHARU - Empat lelaki termasuk ketua kumpulan penarik kereta Geng Fuad dicari bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan melibatkan kumpulan itu dan satu lagi kumpulan penarik kereta dikenali sebagai Geng Khairul minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, Fuad atau nama sebenarnya Mohd Fuad Mohd Yusuf, 33, beralamat di Jalan Hospital, Pasir Mas, dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

“Tiga lagi ahli kumpulan sama yang dicari ialah Nik Kamal Riduan Ismail, 36, atau dikenali sebagai Abe Gagap beralamat di Jalan Semerak, Kuala Besut, Terengganu.

“Polis juga sedang mengesan Mohd Fahmi Norzere, 24, tinggal di Kampung Hutan Banggol, Kota Bharu dan Mohd Nurfino Omar, 37, atau Pino beralamat di Lorong Che Hussin, Berek 12, Kota Bharu,” katanya.

Menurut beliau, kesemua mereka yang bekerja sebagai penarik kereta itu diminta tampil ke balai bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung empat individu ini diharap dapat memberi maklumat kepada polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436, 427, 379A, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, khianat dengan api, mencuri kenderaan, menyebabkan kecederaan parah dan memiliki senjata dalam rusuhan,” katanya.

Seramai 19 individu ditahan pada 30 Julai lalu sehingga pagi hari ini di Kelantan dan Kedah bagi membantu siasatan berhubung dua kejadian pergaduhan di Kota Bharu itu.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu juga seorang lelaki berusia 32 tahun juga ahli Geng Fuad cedera parah dan putus tiga jari tangan kiri akibat ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai.

Mangsa yang juga adik kepada ketua Geng Fuad kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki putus tiga jari, ditetak 40 kali