1,134 terima notis hadir mahkamah kerana merokok

Sehingga tempoh 31 Julai lalu, sebanyak 270 operasi bersepadu di kedai makan dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan. (Gambar kecil: S Veerapan)
Sehingga tempoh 31 Julai lalu, sebanyak 270 operasi bersepadu di kedai makan dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan. (Gambar kecil: S Veerapan)
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) sentiasa dijalankan di seluruh Negeri Sembilan termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, sehingga tempoh 31 Julai lalu, sebanyak 270 operasi bersepadu dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan.

Menurutnya, hasil daripada operasi ini sebanyak 1,134 notis perintah hadir ke mahkamah mengikut Seksyen 32B yang boleh dikompaun bernilai RM284,850 dikeluarkan kepada perokok dan penjual rokok di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKHT 2004.

"Daripada jumlah notis yang dikeluarkan, sebanyak 834 notis dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) yang bernilai RM208,500 manakala sebanyak 92 notis turut dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di bawah Peraturan 12(1)(a) yang bernilai RM23,000.

"Sebanyak 100 notis terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka di bawah Peraturan 12(1)(b) yang bernilai RM25,000 turut dikeluarkan dan sebanyak 57 notis dikenakan terhadap Orang Belum Dewasa di bawah Peraturan 13 yang bernilai RM2,850," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sentiasa mengambil langkah-langkah drastik bagi menangani isu merokok terutama di kawasan larangan merokok.

"Masyarakat terutamanya yang bukan perokok turut digesa mengambil tanggungjawab bersama dengan menegur perokok bagi melindungi hak masing-masing serta tidak menjadi perokok pasif," katanya.

Artikel Berkaitan: